Selangor nafi terima 2.9 juta dos vaksin Covid-19

Gambar kecil: Siti Mariah
Gambar kecil: Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menafikan dakwaan negeri itu menerima 2.9 juta dos vaksin Covid-19 seperti yang dilaporkan sebuah artikel kesihatan.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pihaknya telah merujuk laporan terbabit kepada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor yang memaklumkan bekalan vaksin di negeri ini masih tidak mencukupi.

"Tidak timbul isu Selangor mendapat bekalan sebanyak itu dan amat mustahil untuk mempunyai lebihan 2.5 juta dos untuk disimpan (seperti laporan terbabit)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Siti Mariah berkata, pada masa ini JKN Selangor hanya menerima sebanyak 615,000 dos merangkumi 434,070 dos vaksin Pfizer, 146,440 dos vaksin Sinovac dan 34,700 dos vaksin Astrazeneca sehingga 1 Jun lalu.

Beliau berkata, merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Bilik Gerakan Negeri Selangor merekodkan pemberian vaksin Covid-19 fasa pertama melibatkan sebanyak 233,874 dos manakala pemberian bagi fasa kedua melibatkan 192,096 dos.

"Maka jumlah keseluruhan vaksin Covid-19 yang telah diberikan ialah sebanyak 425,970 dos," ujarnya.

Dalam pada itu, Siti Mariah berkata, urusan pengagihan vaksin dikendalikan sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala bekalan vaksin yang diperuntukkan kepada negeri diturunkan kepada JKNS.

Katanya, bekalan vaksin kemudian disalurkan kepada bahagian farmasi dan diagihkan kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk diberikan mengikut agihan yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat banyak kecelaruan yang ditimbulkan oleh data bersumberkan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi ( MOSTI) menerusi artikel tersebut. Pertama, data yang dinyatakan tidak selari dengan statistik pemberian dan penerimaan vaksin Covid-19 di Selangor.

"Kedua, terdapat negeri-negeri yang memberikan vaksin lebih daripada bekalan yang diterima dan situasi ini menunjukkan data yang dikeluarkan adalah tidak tepat dan sangat mengelirukan," katanya.

Siti Mariah menjelaskan, Selangor mempunyai kemampuan untuk memberi suntikan vaksin harian lebih tinggi daripada sekarang.

"Namun, kita tidak boleh menggerakkan PPV ke tahap yang maksimum kerana penerimaan vaksin yang diterima oleh Selangor hanya setakat yang telah dinyatakan sahaja.

"Sehubungan itu, saya ingin menggesa supaya pelaksanaan PPV dapat dijalankan secara telus dengan informasi data-data yang lebih tepat dan terkini," katanya.

Sebelum ini sebuah laman web menerbitkan satu artikel memaklumkan, kerajaan Persekutuan memberikan kira-kira 2.9 juta dos vaksin Covid-19 di Selangor yang merupakan tertinggi di negara ini.