X

Kindly register in order to view this article
!

Bentuk kerajaan perpaduan, 'vaksin' berdepan krisis teruk

Dr Chandra Muzaffar
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan Perikatan Nasional (PN), pembangkang dan individu bebas yang berkaitan dengan sektor kesihatan merupakan 'vaksin' bagi negara yang sedang mendepani krisis teruk akibat pandemik Covid-19 ketika ini.

Cendekiawan Sains Politik, Dr Chandra Muzaffar berkata, perkara itu turut disuarakan beliau dalam satu wawancara baru-baru ini.

Katanya, dalam menghadapi saat genting itu, semua pihak harus bersatu dan mengetepikan sebarang agenda yang bersifat individu semata-mata.

"Kita harus menjalin hubungan yang lebih kuat merentasi perpecahan politik dan etnik kita. Perasaan ingin bersama harus mengikat kita semua.

"Ia demi kesejahteraan rakyat dan bukan cita-cita individu. Itu yang harus diutamakan berbanding perkara lain.

"Ini akan menetapkan nada yang tepat untuk kohesi nasional iaitu vaksin yang hilang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam kenyataan sama, Chandra yang juga Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST) turut memuji keputusan barisan kabinet yang terdiri daripada menteri dan timbalan menteri untuk tidak menerima gaji masing-masing selama tiga bulan supaya disalurkan kepada Tabung Covid-19.

Katanya, langkah itu sangat penting bagi golongan elit untuk menunjukkan bahawa mereka juga bersolidariti dengan kesusahan yang dialami rakyat ketika ini.

"Keputusan menteri-menteri Persekutuan dan timbalan menteri untuk tidak mengambil gaji mereka selama tiga bulan adalah contoh prinsip moral yang akan memberi kesan kepada negara.

"Adalah penting bahawa perkhidmatan awam juga telah memilih untuk mencontohi golongan pemimpin dalam kerajaan," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut diharap dapat melakukan perkara sama terhadap barisan pemimpin mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!