Perkhidmatan komunikasi kini menjadi utiliti awam: Saifuddin

Saifuddin Abdullah - Foto Fail Bernama
Saifuddin Abdullah - Foto Fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam di negara ini selepas bekalan air dan elektrik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, mesyuarat kabinet semalam telah meluluskan memorandum cadangan tindakan untuk menjadikan komunikasi sebagai utiliti awam dengan pemakaian Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I).

“Pengiktirafan perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam adalah penting bagi memastikan akses perkhidmatan komunikasi dapat disediakan secara menyeluruh dan berkualiti tinggi, selain dilaksanakan dengan cepat berserta kos operasi yang berpatutan,” katanya ketika sidang akhbar secara maya pada Khamis.

Saifuddin berkata, antara kepentingan menjadikan komunikasi sebagai utiliti awam ialah memastikan penyediaan infrastruktur digital dapat dilaksanakan dengan cepat dan kos operasi serta pembangunan yang berpatutan.

“Ia juga dapat memastikan ketersediaan rangkaian komunikasi yang berkualiti tinggi bagi menambah nilai suatu negeri untuk aktiviti ekonomi yang lebih besar dan berdaya saing serta meningkatkan daya saing negara dengan adanya proses yang seragam dan telus,” katanya

Tegas beliau, kesalinghubungan infrastruktur digital merupakan antara elemen penting bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan seterusnya meningkatkan tahap daya saing sesebuah negara.

Saifuddin berkata, perkhidmatan komunikasi selaku utiliti awam akan dimasukkan sebagai antara syarat dalam Kebenaran Merancang bagi pembangunan baharu di sesebuah lokasi.

“Perkhidmatan komunikasi akan memberi tambah nilai kepada projek-projek baharu yang akan dibangunkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berterima kasih kepada menteri besar dan ketua menteri yang telah memainkan peranan dengan mewartakan kedudukan perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam.

“Boleh dikatakan seluruh negara telah menerima pakai komunikasi sebagai utiliti awam dan ini akan percepatkan proses pemasangan aset-aset berkaitan kesalinghubungan di bawah program Jalinan Digital Negara (Jendela),” katanya. - Bernama