Tiga kes disyaki penyakit kulit kental di Kedah sedang dianalisa

Lembu yang mempunyai tanda klinikal seperti nodul (pembengkakkan) keras pada kulit dikuarantinkan bagi mengelak menjangkiti ternakan lain. Gambar kecil: Azman Nasrudin
Lembu yang mempunyai tanda klinikal seperti nodul (pembengkakkan) keras pada kulit dikuarantinkan bagi mengelak menjangkiti ternakan lain. Gambar kecil: Azman Nasrudin
A
A
A

ALOR SETAR - Terdapat tiga kes di Kedah disyaki berkaitan penyakit kulit kental atau Lumpy Skin Disease (LSD) yang menjangkiti haiwan ternakan sedang dianalisa dan belum memperoleh keputusan makmal.

Exco Pertanian, Industri Makanan, Peladangan dan Komoditi Kedah, Azman Nasrudin berkata, ia membabitkan tiga daerah iaitu di Kota Setar, Sik dan Kulim.

Menurutnya, sampel darah dan calitan hidung serta air liur lembu berkenaan diambil dan dihantar ke makmal untuk tujuan pengesahan.

“Pada 20 Mei, terdapat dua kes disyaki di Kota Setar dan Sik. Sampel darah dan calitan hidung serta air liur haiwan berkenaan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar Malaysia, Ipoh untuk pengesahan manakala pada 1 Jun, satu lagi kes dikesan di Kulim,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Azman berkata, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) turut menjalankan pemeriksaan di semua Stesen Kuarantin Swasta yang menjalankan kuarantin lembu di Bukit Kayu Hitam pada 18 Mei dan mendapati terdapat lembu yang mempunyai tanda klinikal LSD dikesan di tiga daripada empat stesen kuarantin berkenaan.

“Pasukan dari Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Malaysia bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah serta Maqis telah mengesahkan 42 ekor lembu dijangkiti daripada 1880 keseluruhan lembu yang dikuarantin.

"Dalam tempoh lanjutan kuarantin, ternakan yang disyaki berpenyakit diasingkan. Pemakluman kepada pemilik lembu dan pemilik premis mengenai lanjutan tempoh kuarantin telah dibuat,” katanya.

Sehubungan itu, pemantauan harian dilakukan oleh Maqis dan buat masa ini tiada ternakan boleh keluar atau masuk ke semua Stesen Kuarantin Haiwan Swasta sehingga mendapat arahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Azman berkata, proses pelupusan lembu dijangkiti akan dilakukan sejurus tamat tempoh kuarantin lanjutan, selaras peruntukan Peraturan-Peraturan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Kuarantin dan Pemeriksaan) Tahun 2013 [P.U(A)116/2013], Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011[Akta 728].

“Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD) meminta semua PPVD memantau ternakan lembu dan kerbau di daerah masing-masing selain memaklumkan kepada penternak mengenai penyakit ini dan tanda-tanda klinikalnya.

Penternak dikehendaki melaporkan kepada Pejabat Veterinar jika terdapat ternakan mempunyai tanda klinikal penyakit tersebut dan menasihatkan penternak untuk tidak memindahkan ternakan mereka sebaliknya mengasingkan ternakan yang dijangkiti,” katanya.

Menurutnya, penternak dinasihatkan untuk menjalankan kawalan vektor (nyamuk, serangga menggigit dan kutu) di ladang masing-masing kerana penyakit ini adalah bawaan vektor penghisap darah.

“Penyakit LSD bukan penyakit zoonotik dan sehingga kini tiada laporan yang mengesahkan jangkitan atau transmisi kepada manusia,” katanya.

Penyakit ini berpunca daripada virus dan berasal dari Afrika mula dikesan di Asia Tenggara pada 2020. Tanda klinikal penyakit ini adalah nodul (pembengkakkan) yang keras pada kulit lembu serta boleh merebak di kalangan ternakan.

Tiada rawatan khusus tetapi kawalan pencegahan paling berkesan adalah dengan vaksinasi. Kawalan pergerakan juga merupakan kawalan utama untuk mengelakkan daripada merebak kepada ternakan lain.

ARTIKEL BERKAITAN: 42 lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit kulit kental