Sultan Kelantan perkenan salur bantuan RM1 juta

Sultan Muhammad V
Sultan Muhammad V
A
A
A

KOTA BHARU - Sultan Muhammad V mengampuni perkenan supaya Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan bantuan RM1 juta kepada golongan asnaf di seluruh Kelantan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan itu pada mulanya disediakan oleh MAIK untuk program bersama KDYMM Sultan Muhammad V sepanjang Ramadan namun mendapat perkenan untuk disalurkan kepada golongan terjejas.

Katanya, Sultan Kelantan mengambil maklum mengenai susah payah rakyat jelata dalam mengharungi kehidupan ketika negara ini masih lagi berdepan Covid-19.

“Jadi dengan sumbangan RM1 juta yang dikurniakan itu, baginda benar-benar berharap dapat memberikan kegembiraan kepada asnaf, anak yatim, pelajar tahfiz dan golongan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan rasa dukacita apabila fasiliti kesihatan yang dilaporkan kritikal dengan pertambahan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dengan jumlah keseluruhan 17 yang dibuka di Kelantan.

“Baginda menzahirkan kebimbangan dengan tren semasa pandemik Covid-19 di Kelantan meskipun jumlah kes individu yang dijangkiti virus itu menunjukkan penurunan sejak beberapa hari namun angkanya masih lagi tinggi.

“Sultan Muhammad V juga sukacita menyeru seluruh rakyat di negeri Kelantan untuk terus berdoa ke hadrat Ilahi supaya sentiasa dilindungi dan seluruh rakyatnya dijauhi wabak Covid-19," katanya.

Menurut beliau, baginda juga bertitah mengajak seluruh rakyat terus mendisiplinkan diri dan mematuhi garis panduan ditetapkan kerajaan pusat mahupun negeri.

Artikel Berkaitan:

“Sama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan pada masa sama tidak berlaku pertambahan kluster baharu di Kelantan,” katanya.