Petani, pemborong boleh mohon surat rentas daerah, negeri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Petani dan pemborong produk pertanian di Kedah boleh memohon surat kebenaran merentas daerah dan negeri mengikut sektor melalui agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Exco Pertanian dan Industri Makanan Negeri Kedah, Azman Nasrudin berkata, golongan tersebut boleh membuat permohonan di bawah agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian, lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

"Saya telah merujuk perkara ini kepada MAFI dan mereka memaklumkan bahawa petani dan pemborong boleh memohon surat kebenaran merentas daerah dan negeri mengikut sektor atau kategori kerana sektor rantaian makanan termasuk dalam kategori yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

"Saya juga telah mengarahkan semua agensi di bawah MAFI negeri Kedah untuk memantau dan melaporkan segera kepada saya sekiranya ada petani-petani yang menghadapi lambakan barang-barang pertanian mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Azman berkata, beliau menerima banyak aduan daripada petani dan pemborong di Kedah yang sukar untuk memasarkan barangan mereka akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

"Kerajaan negeri Kedah melalui agensi berkaitan sedia untuk membeli dan memasarkan produk-produk mereka sekali gus mengelakkan petani-petani menganggung kerugian selain lambakan produk pertanian," ujarnya.

Artikel Berkaitan: