X

Kindly register in order to view this article
!

Ambil tindakan serius cegah insiden ceroboh ruang udara berulang

Abang Johari
A
A

KUCHING - Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan serius bagi memastikan insiden pencerobohan ruang udara Malaysia oleh pesawat China tidak berulang pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Ini susulan pelanggaran ruang udara dan kedaulatan Malaysia oleh 16 pesawat milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang terbang di atas Beting Patinggi Ali, terletak kira-kira 110 kilometer dari pantai Sarawak pada Isnin lepas.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut menzahirkan kebimbangan berhubung insiden itu dan menyokong penuh tindakan yang diambil oleh Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu tersebut.

“Sarawak menyokong penuh tindakan yang diambil Kerajaan Persekutuan termasuk memanggil Duta Republik Rakyat China untuk memberikan penjelasan berhubung insiden itu.

“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan yang serius bagi memastikan insiden sedemikian tidak akan berulang pada masa akan datang dalam usaha melindungi serta mempertahan kedaulatan, maruah dan integriti negara,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada Isnin lepas, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pihaknya mengesan 16 pesawat PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (MMZ).

Beliau berkata, penerbangan mencurigakan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada jam 11.53 pagi. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!