Ibu, teman lelaki didakwa pukul anak hingga cedera

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita dan teman lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang pada Khamis atas pertuduhan memukul anak kandung wanita itu yang berusia empat tahun hingga cedera, Mac lepas.

Suri rumah berusia 27 tahun dan kontraktor berumur 39 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, wanita dan teman lelakinya didakwa memukul kanak-kanak perempuan itu hingga cedera dan tidak menghantar mangsa untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kabus, Ampang, Selangor, pada kira-kira 10 malam, 18 Mac lepas dan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali dan dilarang berhubung dengan mangsa serta pengadu sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Erickka Farrise Amir.

Mahkamah menetapkan 1 Julai ini untuk sebutan semula kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: