JTKSM, JKKP diberi kuasa kompaun sektor swasta gagal patuhi BDR

Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi arahan BDR serta berlaku pelanggaran SOP akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun sehingga RM50,000.
Mana-mana syarikat yang tidak mematuhi arahan BDR serta berlaku pelanggaran SOP akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun sehingga RM50,000.
A
A
A

PUTRAJAYA- Pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun terhadap sektor swasta yang melanggar dasar 40 peratus bekerja dari rumah (BDR) sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kuasa itu diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] dan berkuatkuasa 1 Jun lalu.

"Mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR terkini serta berlaku pelanggaran prosedur operasi standard SOP akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun sehingga RM50,000," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan yang diterima melalui aplikasi Working for Workers (WFW) berhubung majikan yang tidak membenarkan pekerja untuk BDR.

"Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan telah diterima oleh KSM sehingga 2 Jun," katanya.

Beliau berkata, bagi tempoh 3 Mei sehingga 2 Jun aplikasi WFW juga telah menerima 1,767 aduan bagi 16 kategori lain.

"Daripada jumlah ini, aduan membabitkan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat adalah 260 kes, pembuangan kerja tanpa notis (73), tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian (68) dan lain-lain," katanya.

Saravanan berkata, negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan sehingga kini adalah Selangor iaitu 580 kes diikuti Kuala Lumpur (511), Johor (223) dan Pulau Pinang (134).

Artikel Berkaitan:

"Saya menggesa semua majikan untuk mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap SOP terutamanya dalam tempoh yang kritikal ini.

"Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja," katanya.

Tambahnya, KSM komited memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara di samping mengambil tindakan segera ke atas isu-isu perburuhan yang dihadapi pekerja.

"Para pekerja dinasihatkan untuk terus menyalurkan aduan dan permasalahan yang dihadapi melalui aplikasi WFW dan mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan wabak Covid-19," katanya.