Hospital Canselor Tuanku Muhriz tawar PPV secara pandu lalu

Kakitangan hospital UKM melakukan simulasi PPV IPT Mobile dan Drive-Thru. - Foto Bernama
Kakitangan hospital UKM melakukan simulasi PPV IPT Mobile dan Drive-Thru. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) institusi pengajian tinggi (IPT) kedua di negara ini yang menyediakan pemberian vaksin melalui pandu lalu dan yang pertama secara bergerak.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia antara usaha kementerian dalam menggerakkan tenaga kerja kesihatan universiti awam dan Hospital Pengajar Universiti (HPU) untuk terlibat dalam PPV IPT supaya sasaran 150,000 dos vaksin sehari dapat dicapai menjelang akhir Jun ini.

“Program ini akan memfokuskan kepada penduduk di kawasan bandar dan luar bandar terutama bagi mereka yang mempunyai masalah capaian akses kepada vaksin, masalah kemudahan kenderaan dan lain-lain lagi.

“Melalui pelaksanaan program pemberian vaksin secara pandu lalu dan 'mobile' (bergerak) ini, ia akan dapat mempercepatkan proses pemberian vaksin, sekali gus mencapai imuniti kelompok lebih cepat,” katanya pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di HCTM di sini pada Khamis.

Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan menjadi perintis kepada kaedah pemberian vaksin secara pandu lalu itu melalui dua fasa iaitu fasa pertama bermula 22 Mac manakala fasa kedua mulai 25 Mei lepas.

Noraini berkata, ketika ini kementerian menerima beberapa permohonan daripda HPU lain untuk menawarkan perkhidmatan PPV pandu lalu.

“Kita akan mengadakan perbincangan mengenai hal ini dan akan memaklumkan semula selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“PPV pandu lalu ini mestilah mempunyai kawasan yang cukup luas dan prosedur operasi standard (SOP) PPV pandu lalu ini sedang dibangunkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF), katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: