X

Kindly register in order to view this article
!

Dua lelaki ditahan cuba seludup dadah ke pusat kuarantin

Gambar hiasan
A
A

PORT DICKSON - Dua lelaki ditahan ketika cuba membawa masuk dadah di dalam bungkusan makanan yang mahu diberi kepada rakan mereka yang positif Covid-19 di Pusat Kuarantin Dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Politeknik Port Dickson, di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, perbuatan kedua-dua lelaki berusia 27 dan 35 tahun itu dikesan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan menemui ketulan berbentuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 1.4 gram di dalam bungkusan makanan yang mahu diberi kepada rakan mereka.

"Turut ditemui satu tiub kaca yang dibalut dengan tisu dipercayai digunakan untuk menghisap dadah," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Menurutnya, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua lelaki terbabit juga didapati positif methampethamine.

Sehubungan itu katanya, polis bersama agensi berkaitan akan sentiasa meningkatkan kawalan di PKRC berkenaan bagi mengelak sebarang usaha membawa masuk benda terlarang terutama dadah.

"Jika didapati berlaku, polis akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang," katanya.

Dalam perkembangan lain Aidi Sham berkata, sebanyak 29 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) telah dikeluarkan pada hari kedua pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Ujarnya, antara kesalahan dilakukan ialah tidak memakai pelitup muka, tidak mengimbas MySejahtera, berkumpul tanpa penjarakkan fizikal dan membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!