Convent Bukit Nanas dapat lanjutan pajakan tanah selama 60 tahun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Lady Superior Society of Saint Maur yang mengendalikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas (CBN), secara rasminya telah mendapat lanjutan pajakan tanah untuk sekolah itu selama 60 tahun.

Peguam Lady Superior, Damien Chan ketika dihubungi Bernama berkata, mereka menerima surat bertarikh 31 Mei, daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Muhammad Yasir Yahya berhubung lanjutan pajakan tanah itu.

Beliau berkata, berdasarkan surat itu, jawatankuasa Pejabat Tanah bersetuju dengan lanjutan 60 tahun kepada Lady Superior dengan syarat tanah itu hanya boleh digunakan untuk tujuan pendidikan dan tidak boleh dipindahkan kepada pihak lain tanpa persetujuan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan.

Surat itu juga menyatakan bahawa CBN perlu menjelaskan bayaran sebanyak RM2,070 bagi pelanjutan pajakan dalam tempoh tiga bulan mulai 31 Mei.

"Hasil daripada kelulusan itu, kami telah memfailkan notis pemberhentian permohonan semakan kehakiman semalam," kata Chan selepas perkara itu dibangkitkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi, Nur Aslamiah Jamil melalui prosiding dalam talian pada Khamis.

Pada 22 April lalu, kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pajakan tanah bagi SMK CBN selama 60 tahun selepas tamat tempohnya pada 6 September tahun ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan berkata, keputusan melanjutkan pajakan itu dibuat selepas mempertimbangkan sumbangan yang dibuat oleh SMK CBN kepada pendidikan negara sejak 1899.

Pada 19 April lalu, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Lady Superior untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan pihak berkuasa yang tidak memperbaharui pajakan tanah itu.

Artikel Berkaitan:

Lady Superior telah memfailkan permohonan itu pada 7 April lepas serta menamakan Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Lady Superior berkata, ia telah menulis surat kepada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada 4 Oktober 2017 untuk meminta pelanjutan bagi pajakan tanah serta menerima balasan pada 18 Disember 2020 yang menyatakan bahawa pajakan itu tidak akan diperbaharui.

Pemohon antara lain meminta perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Pejabat Tanah dan Galian yang enggan melanjutkan tempoh pajakan tanah dan perintah mandamus bagi memaksa Pengarah Tanahlum dan Galian Wilayah Persekutuan untuk membatalkan surat bertarikh 18 Disember 2020 yang menyatakan bahawa pajakan itu tidak akan diperbaharui. - Bernama