ASTAF gesa PSM kemukakan rayuan, bayar denda

ASTAF
ASTAF
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF), menggesa Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk segera mengemukakan rayuan termasuk melunaskan denda yang dikenakan terhadap persatuan berkenaan menjelang 11.59 malam waktu Bangkok, pada 3 Jun.

Gesaan itu dibuat oleh Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat menerusi satu kenyataan media pada Khamis berikutan penolakan surat rayuan yang dikemukakan PSM pada 1 Jun (Isnin) lalu.

Menurut Lorhpipat, surat yang dikemukakan oleh PSM kepada ASTAF itu dipenuhi tuduhan tidak berasas.

"Surat berkenaan penuh dengan tuduhan yang tidak berasas dan kami menafikan setiap pertuduhan berkenaan ini kerana Astaf menjalankan setiap proses secara telus dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Tapi surat yang diterima daripada PSM pula penuh dengan tuduhan. Jadi Astaf tetap dengan keputusan untuk menetapkan tarikh akhir mengemukakan rayuan dan melunaskan denda mereka sebelum 11.59 malam waktu Bangkok pada 3 Jun ini untuk kami menelitinya," katanya.

Untuk rekod, PSM digugurkan keahlian daripada Astaf dalam satu sesi pendengaran secara maya yang dihadiri panel antaranya dari India, Indonesia, Iran, Jepun dan Thailand pada 20 Mei lalu.

Badan induk sepak takraw negara itu turut didenda RM61,841 (AS$15,000) dan tambahan RM8,245 (AS$2,000) sekiranya ingin membuat rayuan terhadap hukuman yang dikenakan itu.

PSM dikenakan tindakan berkenaan berikutan tindakan Presiden PSM Datuk Seri Ahmad Ismail yang jugaTimbalan Presiden Astaf, telah menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 24 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Sekali gus, tindakan berkenaan didapati telah melanggar perjanjian bagi mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Astaf sebagaimana yang telah dimeterai pada 14 Mac 2008 lalu.

Dalam pada itu, sehingga ke hari ini, PSM tidak mengemukakan sebarang rayuan selain bercadang membawa perkara berkenaan ke mahkamah bagi mendapatkan keadilan.