X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia diramal tidak alami jerebu rentas sempadan teruk

Malaysia tahun ini diramal tidak akan dilanda jerebu merentas sempadan yang teruk berbanding tahun sebelumnya susulan keadaan semasa cuaca.
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia tahun ini diramal tidak akan dilanda jerebu merentas sempadan yang teruk berbanding tahun sebelumnya susulan keadaan semasa cuaca, termasuk cuaca di negara jiran yang masih lembap.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jailan Simon berkata, keadaan berkenaan disumbangkan oleh fenomena La Nina yang berlaku, sekali gus menghalang kepada aktiviti pembakaran terbuka.

“Apa yang berlaku di negara jiran nampaknya masih belum ‘kering’. Jadi kita tidak jangka keadaan jerebu yang sangat serius. Bagaimanapun kita belum tahu lagi dalam masa tiga bulan akan datang kerana keadaan kering itu masih boleh berlaku di negara jiran,” katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada program 'Sembang Santai: Situasi Cuaca Semasa - Kesan Kepada Masyarakat dan Alam Sekitar' sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2021 yang diadakan secara maya.

Sesi berkenaan turut disertai Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Udara Jabatan Alam Sekitar (JAS), Wan Aminordin Wan Kamaruddin dan Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman dari Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hari Alam Sekitar Sedunia disambut pada 5 Jun setiap tahun manakala sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) pada Oktober.

Jailan berkata, negara telah mengalami peralihan monsun Timur Laut kepada Barat Daya sejak 19 Mei lepas dan keadaan itu menurutnya masih belum stabil dan menyebabkan keadaan hujan yang tidak menentu.

“Bagaimanapun tahun ini agak sedikit luar biasa kerana tahun ini adalah tahun La Nina kita agak lembap, berbanding tahun sebelum ini, dan kesan La Nina tahun ini tidaklah kuat atau ketara, dan kita akan dapat lebih banyak hujan berbanding musim monsun Barat Daya sebelum ini.

“Apabila dah stabil, Insya-ALLAH keadaan ribut petir di pantai barat ini akan berkurangan dan kemungkinan ia akan berlaku lebih di kawasan pedalaman serta kawasan pantai timur. Ini adalah ‘patern’ yang biasa, cuma di peringkat awal ini nampak pelik sedikit kerana angin itu belum stabil,” katanya.

Sementara itu, Haliza berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 menyaksikan keadaan alam sekitar di negara ini semakin bertambah baik. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!