Penduduk Sri Penara diminta saling membantu sepanjang PKPD

Blok C dan D dikenakan PKPD sejak 28 Mei lalu dan dijangka berakhir 10 Jun. Gambar kecil: Suhaimi
Blok C dan D dikenakan PKPD sejak 28 Mei lalu dan dijangka berakhir 10 Jun. Gambar kecil: Suhaimi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Operasi kedai runcit atau lori bergerak untuk jualan bahan mentah masih belum sesuai dilaksanakan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Blok C dan D Pangsapuri Sri Penara Cheras di sini.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Suhaimi Zahari berkata, ia disebabkan prosedur operasi standard (SOP) PKPD yang ketat di kawasan zon merah tersebut susulan pengesanan kes positif yang tinggi hasil ujian saringan dilakukan sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya, JMB telah memohon beberapa kelonggaran sebagai alternatif kepada penduduk untuk mendapatkan bekalan makanan termasuk tempahan secara dalam talian serta pembelian melalui pesanan kenalan terdekat.

"Sepatutnya tiada isu tidak pandai membeli secara dalam talian. Mereka yang bermasalah boleh mendapatkan bantuan daripada jiran-jiran terdekat.

"Masa inilah kena saling bantu membantu. Keutamaan kita adalah keselamatan diri dan memastikan jangkitan dalam kawasan kejiranan kita dapat diputuskan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keluhan penduduk di kawasan berkenaan yang tiada akses bagi mendapatkan bekalan bahan basah selepas kedai runcit dalam kawasan PKPD itu tidak dibenarkan beroperasi.

Suhaimi berkata, pihaknya telah sehabis daya membantu 7,000 penduduk di dua blok berkenaan bagi memastikan tiada isu penduduk terabai atau terputus bekalan makanan sepanjang pelaksanaan PKPD itu.

Mengulas lanjut katanya, pengagihan bakul makanan telah diedarkan kepada semua unit dan penduduk juga boleh memohan bekalan tambahan sekiranya kehabisan stok.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum pelaksanaan PKPD lagi pihak JMB telah mengingatkan penduduk untuk membuat persiapan. Selain itu, kami juga cuba bantu penduduk yang memerlukan termasuk keperluan susu bayi dan lampin pakai buang.

"Kami wujudkan grup WhatsApp dan Telegram bagi memudahkan penduduk berhubung dan meminta bantuan. Petugas juga ada buat hebahan melalui pembesar suara sebagai medium penyampaian maklumat," katanya.

Justeru, pihaknya memohon penduduk agar tidak panik danmem berikan kerjasama dengan mematuhi SOP ditetapkan sepanjang pelaksanaan PKPD.

"Kami harap penduduk menggunakan saluran yang betul. Jika ada masalah boleh mengadu terus dengan kami, kami cuba sebaik mungkin menyelesaikan masalah mereka.

"Kami juga mohon penduduk bersabar untuk tempoh dua minggu ini. Jika terputus bekalan boleh hubungi talian hotline 010-5592824 atau hubungi saya terus di talian 019-387 5184," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya dua tin sardin buat penduduk PKPD Pangsapuri Sri Penara

Selasa lalu Sinar Harian melaporkan dakwaan penduduk di kawasan PKPD berkenaan yang mereka sudah kehabisan bekalan bahan basah untuk dimasak.

Setiap penduduk dilaporkan ada menerima bakul makanan pada 29 Mei lalu, namun hanya dua tin sardin yang boleh dijadikan lauk sementara yang lain merupakan makanan kering seperti beras, tepung dan biskut.

Pengadu mencadangkan supaya penduduk diberi lebih pilihan untuk mendapatkan keperluan dengan membenarkan lori bergerak yang menjual bahan mentah masuk ke kawasan berkenaan susulan kedai runcit tidak dibenarkan operasi sepanjang tempoh PKPD dilaksanakan.