Kakitangan UIAM didakwa terima rasuah RM32,000

Mohd Hakimi (dua, kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas empat pertuduhan rasuah membabitkan suapan RM32,000 berhubung baucar bayaran, tujuh tahun lalu.
Mohd Hakimi (dua, kanan) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas empat pertuduhan rasuah membabitkan suapan RM32,000 berhubung baucar bayaran, tujuh tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang petugas Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Shah Alam, dituduh sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan menerima suapan RM32,000 berhubung baucar bayaran, tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Hakimi Mohd Badrol Afandi, 44, selaku Penolong Pengarah di Bahagian Komunikasi Korporat UIAM mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia selaku ejen UIAM, didakwa telah secara rasuah memperoleh wang tunai RM32,000 daripada seorang lelaki yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya.

Ia sebagai dorongan membantu memudahkan urusan tiga syarikat mendapatkan kerja-kerja berkaitan baucar di universiti itu antaranya 'The Modification Works IIUM Gallery and Official Launching By IIUM President' dan 'Printing Packages of IIUM Corperate Colleteral (Executive Diaries, Notebook dan Planner) 2015.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Cawangan Maybank Jalan Gombak, di Jalan Meranti Taman Setapak di sini antara 13 November 2014 dan 30 Mac 2015.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh di hukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dia juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pilihan, menerima sesuatu barang berharga iaitu wang tunai RM32,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya tanpa sebarang balasan daripada individu sama yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya berkaitan baucar serupa.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua petugas komunikasi korporat UIAM didakwa terima rasuah

Artikel Berkaitan:

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Alif Shaharuzaman memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin yang sebelum ini telah ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tertuduh didakwa pada 27 Mei lalu.

“Saya juga memohon agar kesemua kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama kerana kes hari ini melibatkan transaksi yang sama,” katanya.

Dalam prosiding pada Khamis, tertuduh tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar permohonan daripada pihak pendakwaan itu, Emelia Kaswati membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan 29 Jun ini bagi sebutan semula kes, di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Pada 27 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan, dua petugas Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM69,892, tujuh tahun lalu.

Mohd Hakimi dan Yusri Said, 49, pembantu tadbir kanan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.