Mesej palsu jejaskan peniaga daging, ayam

Meor Zulkifli menunjukkan keputusan negatif ujian calitan yang dijalankan selepas didakwa dijangkiti Covid-19 di Pasar Tanjung Rambutan, Tambun. Gambar kecil: Mesej palsu tular yang menjejaskan pendapatan peniaga di Pasar Tanjung Rambutan, Tambun. - Foto ihsan pembaca
Meor Zulkifli menunjukkan keputusan negatif ujian calitan yang dijalankan selepas didakwa dijangkiti Covid-19 di Pasar Tanjung Rambutan, Tambun. Gambar kecil: Mesej palsu tular yang menjejaskan pendapatan peniaga di Pasar Tanjung Rambutan, Tambun. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

TAMBUN - Gara-gara mesej palsu kononnya seorang peniaga didapati positif Covid-19 telah menjejaskan pendapatan peniaga daging dan ayam di Pasar Tanjung Rambutan, di sini.

Peniaga, Noorlaili Mohd Zain, 62, berkata, kejadian itu berlaku Ahad lalu selepas tular gambar suaminya kononnya dijangkiti virus itu dan enggan membuat ujian calitan.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan individu yang tidak bertanggungjawab bukan sahaja memberi kesan kepada peniaga, malah pengunjung turut takut untuk membeli.

"Suami, Meor Zulkifli Badioz Zaman, 60, diminta untuk lakukan 'swab test' oleh pihak berkuasa sebaik menerima aduan daripada individu yang tidak dikenali.

"Berikutan arahan itu, suami telah membuat ujian itu dan didapati negatif. Yang menghairankan, hanya suami diarahkan berbuat demikian dan bukannya peniaga-peniaga lain," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Noorlaili berkata, pihaknya meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menampal notis yang memaklumkan premis di lokasi itu bebas jangkitan sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan.

"Mereka mengetahui keputusan suami tetapi tiada sebarang tindakan yang diambil. Sekurang-kurangnya tampallah notis rasmi yang pasar ini selamat dan pelanggan tidak berasa was-was datang untuk membeli.

"Disebabkan mesej palsu itu, pendapatan yang mencecah hampir RM2,000 sebelum ini jatuh RM500 sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang tidak berpuas hati terhadap perniagaan yang dijalankan lebih 30 tahun lalu.

"Satu laporan telah dibuat bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengesan dalang yang menyebarkan berita palsu itu," katanya.

Sementara itu, MBI dalam notis pemberitahuan ringkas memaklumkan Pasar Tanjung Rambutan bebas daripada gejala Covid-19.

Notis berkenaan turut memaklumkan pasar itu tetap akan beroperasi seperti biasa mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).