Jangan permainkan istilah agama

Dr Abdul Rahman Osman
Dr Abdul Rahman Osman
A
A
A

KUANTAN - Gurauan dengan menggunakan sesuatu perkataan atas istilah yang merujuk kepada hal-hal berkaitan agama Islam perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, perbuatan mempermainkan istilah agama tidak sepatutnya dilakukan umat Islam kerana ia juga boleh dianggap sebagai mempersendakan agama.

Menurutnya, perkara berkaitan agama Islam bukan bahan gurauan dan tidak boleh diubah bagi tujuan menyindir pihak tertentu.

"Begitu juga dengan perkataan takbir di mana ia merujuk kepada kalimat 'Allahuakhbar' bagi mengagungkan kebesaran ALLAH SWT dan ia tidak sepatutnya diubah kepada 'take beer' seperti mana dilakukan pihak tertentu yang jelas membawa makna tidak baik dan bertentangan dengan ajaran Islam.

"Sebagai umat Islam menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan Islam dan elakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini ada pihak telah memuatnaik gambar logo Pas bersama jenama salah satu minuman keras berserta kapsyen 'Takebeer' dan diviralkan di laman sosial bagi tujuan menyindir parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pihak yang sengaja mempersendakan agama boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

"Justeru perkara ini perlu dijauhi dan jangan sesekali menyokong atau bersetuju dengan perbuatan itu kerana sikap itu boleh dikira sebagai subahat," katanya.

Artikel Berkaitan:

.