Illusi buat peminat setia: IamNeeta

A
A

Setelah single terdahulu berjudul Sakit berjaya meraih hampir 8 juta tontonan di YouTube, band yang dianggotai oleh tiga anak muda, IamNeeta, bakal tampil dengan single terbaharu mereka, Illusi pada awal Mac depan.

IamNeeta yang merupakan artis naungan NAR Records ini dianggotai oleh Neeta selaku vokalis, Patrick Anohada sebagai pemain gitar utama, selain Anas di posisi bassist. Jika single mereka sebelum ini, Sakit mengisahkan tentang kisah percintaan yang penuh dengan rasa kekecewaan, Illusi pula menampilkan kisah mengenai pasangan yang saling mengharapkan kesempurnaan masing-masing dalam perhubungan.

Sebagaimana kebanyakan lagu-lagu IamNeeta sebelum ini, single terbaharu ini juga merupakan lagu ciptaan penuh Patrick sendiri. Menurut pemain gitar dan komposer berbakat ini, sebelum ini mereka pernah mencuba beberapa kerjasama dengan komposer lain, namun 'feel and touch' yang dimahukan tidak sampai dalam lagu tersebut.

Justeru mereka memilih dan lebih selesa untuk tampil dengan lagu yang ditulis oleh anggota band sendiri yang disifatkan lebih memahami apa yang diinginkan.

"Lagu ini tidak ada kena mengena dengan diri saya, tetapi ia terhasil daripada cerita yang terjadi dalam sesuatu hubungan percintaan mereka yang berada di sekeliling.

“Sebenarnya ia bukan hanya tentang percintaan bersama pasangan, tetapi juga tentang kongkongan yang sering terjadi berpunca daripada pasangan, keluarga dan lain-lain.

“Kita sememangnya sentiasa mengharapkan kesempurnaan dalam perhubungan yang dibina," ujar Patrick.

Neeta selaku vokalis juga turut teruja dengan kehadiran single terbaharu ini walaupun pada mulanya merasa janggal apabila salah seorang anggota mereka, Anas berehat seketika kerana sedang melanjutkan pelajaran di Russia dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal.

“Saya sangat berharap single ini dapat memberitahu peminat yang kami masih ada dalam industri dan berharap agar lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar.

“Semoga mereka semua terus menyokong muzik dan kerjaya seni kami sampai bila-bila", kata Neeta.

Meskipun Anas kini tiada di Malaysia dan terpaksa meninggalkan IamNeeta seketika demi pelajaran, Neeta dan Patrick sepakat untuk terus mengekalkan pemain bassist itu sebagai ahli kumpulan.

“Biarpun Anas kini tidak bersama kami kerana sedang menyambung pelajaran di Russia, kami mengambil keputusan untuk tetap mengekalkan Anas dalam kumpulan.

“Apa yang pasti, kami memberi ruang kepada Anas untuk menghabiskan pelajaran dengan sebaik yang mungkin,” ujar Patrick yang juga sedang giat menguruskan program Travellog di saluran YouTubenya.

Dalam pada itu, IamNeeta mahu terus tampil dengan sesuatu yang baharu demi memberi kelainan dalam lagu-lagu yang pernah ditampilkan mereka sebelum ini.

“Semoga terubat rindu peminat IamNeeta dengan single terbaru daripada kami,” tambah Patrick lagi.