LHDN beri kelonggaran pembayaran cukai, penalti

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menawarkan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada pembayar cukai yang pendapatannya terjejas akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

LHDN berkata, kelonggaran yang ditawarkan adalah penangguhan pembayaran penalti yang berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang perlu dijelaskan.

Penalti-penalti yang termaktub dalam tawaran tersebut adalah penalti yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949, katanya.

“Kelonggaran ini bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai mereka,” kata LHDN dalam satu kenyataan pada Khamis.

LHDN berkata, pihaknya juga membuat pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

“Pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh.

“Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” katanya.

LHDN menegaskan kelonggaran tersebut hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatannya akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Artikel Berkaitan:

“Pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuat kuasa.

“Pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka,” katanya.

LHDN berkata, pihaknya telah mengeluarkan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh selain isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

Soalan lazim yang dikeluarkan itu boleh didapati melalui pautan http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf untuk versi Bahasa Melayu dan http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.p versi Bahasa Inggeris. - Bernama