X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Mohd Zuki ikrar bawa luahan rakyat ke peringkat tertinggi

Mohd Zuki (tiga dari kiri) ketika membuat lawatan mengejut di dua PPV iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah dan Dewan Orang Ramai Taman Bukit Mewah, Selangor pada Khamis.
A
A

PUTRAJAYA- Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berikrar untuk membawa luahan rasa rakyat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ke peringkat tertinggi bagi mencapai solusi terbaik.

Menurutnya, meskipun rakyat yang temuinya pada lawatan mengejut di dua PPV iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Ampang Indah dan Dewan Orang Ramai Taman Bukit Mewah, Selangor memberikan maklum balas yang sangat baik namun terdapat beberapa cabaran dan isu yang boleh diperbaiki.

"Antaranya adalah berkaitan janji temu, lokasi, pengiring-pengiring bagi warga emas dan keperluan untuk mempercepatkan proses vaksinasi itu sendiri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam lawatan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir, beliau dapat merasai komitmen dan dedikasi pelbagai pihak terutamanya penjawat awam yang bertugas tanpa kenal erti penat lelah.

"Saya amat tersentuh dengan keikhlasan dan kesungguhan mereka," katanya.

Mohd Zuki berkata, sehingga 2 Jun, seramai 2,430 penjawat awam telah ditugaskan semula ke PPV dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam terutamanya barisan hadapan yang sanggup berkorban masa, tenaga dan meninggalkan keluarga demi negara," katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin Covid-19.

"Jangan terpengaruh dengan apa jua dakyah dan berita tidak benar tentang usaha vaksinasi.

"Andalah penentu kejayaan negara untuk keluar daripada kemelut wabak Covid-19 ini," katanya.

Tambahnya, segala inisiatif kerajaan akan dipantau pelaksanaannya bagi memastikan penjawat awam terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi.

"Semoga usaha kerajaan untuk memerangi pandemik Covid-19 akan beroleh kejayaan dan kita semua dapat kembali menikmati kehidupan seperti sediakala. Insya-ALLAH," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!