82 kompaun sepanjang ‘lockdown’ di Johor

Ayob Khan
Ayob Khan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sejumlah 82 kompaun dikenakan dengan nilai keseluruhan RM210,500 dalam Ops Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Bersepadu yang dijalankan dalam tempoh dua hari pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi itu dijalankan secara bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor, Jabatan Kesihatan Negeri Johor, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerja (JKKP).

Menurutnya, sepanjang tempoh itu, kawasan Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Segamat merupakan antara daerah tertinggi dalam pengeluaran kompaun.

“Antara kesalahan-kesalahan lazim yang dilakukan adalah gagal memakai pelitup muka, gagal mengimbas aplikasi MySejahtera, gagal menjaga penjarakan, penumpang berlebihan dalam kenderaan dan tidak mengimbas suhu badan ketika masuk ke premis.

“Dari segi keseluruhan kumulatif kompaun bermula tempoh 13 Januari sehingga 2 Jun pula, sebanyak 4,423 kompaun telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Ayob berkata, sepanjang tempoh ‘lockdown’ ini, sebanyak 470 pasukan pemantauan pematuhan SOP telah ditubuhkan dan diatur gerak secara aktif dengan kekuatan seramai 1,598 pegawai dan anggota.

“Dalam tempoh itu, sejumlah 17,512 premis telah diperiksa di seluruh Johor bagi memastikan tahap kepatuhan SOP mengikut garis panduan yang ditetapkan.

“Premis-premis ini meliputi pasar raya, restoran, pusat komersial, pusat perindustrian, rumah ibadat, pusat sukan dan rekreasi, terminal pengangkutan, pusat pendidikan, premis penjaja dan sebagainya, dengan peratus pematuhan sebanyak 97 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 375 premis perindustrian telah diperiksa di negeri ini dan operasi ini akan dilaksanakan secara berterusan di kawasan mukim penularan kluster serta lokaliti yang tersenarai dalam data HIDE mengikut lingkungan radius 500 meter sehingga 2 kilometer,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, jumlah permohonan merentas negeri dan daerah yang diterima di negeri ini untuk tempoh 1 hingga 2 Jun adalah sebanyak 3,384 dan daripada jumlah ini, 3,296 permohonan telah diluluskan dan 88 permohonan telah ditolak

Selain itu, sebanyak 235 kenderaan telah diarah patah balik di sekatan jalan raya dalam tempoh yang sama.