Pembekal sayur berdepan hukuman mati

Chandran berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan membunuh bulan lalu.
Chandran berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan membunuh bulan lalu.
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang pembekal sayur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan membunuh bulan lalu.

R Chandran, 34, didakwa membunuh RS Ragu, 29, di hadapan kedai kosong di Taman Desa Maju dekat Langkap antara jam 6 petang hingga 6.50 petang pada 13 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh diwakili Peguam, Charan Singh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding sama, Chandran mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua lelaki lain iaitu Kiran, 19, dan S Saravanan, 26, menggunakan senjata iaitu sebilah parang di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan serta Seksyen 326 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan lengan tangan kanan hampir putus di dalam semak di tapak pembinaan perumahan di Taman Desa Maju di Langkap sekitar jam 9 malam.

Siasatan awal mendapati, kejadian itu berpunca daripada pergaduhan selepas tertuduh marah dan tidak berpuas hati terhadap mangsa yang menegur anaknya menunggang motosikal dan membuat bising di kawasan rumah.