Edar vaksin Covid-19 di klinik swasta percepat program vaksinasi

Gambar kecil: Mohd Azmi
Gambar kecil: Mohd Azmi
A
A
A

ALOR SETAR - Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) memohon kerajaan mengedarkan vaksin Covid-19 kepada klinik swasta seluruh negara untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat.

Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun pihak bertanggungjawab sedang melaksanakan program vaksinasi secara menyeluruh namun kadarnya masih tidak cukup pantas dan menimbulkan kegusaran kepada rakyat.

Menurutnya, keputusan kerajaan menggunakan sistem yang terlalu berpusat menyebabkan proses vaksinasi berjalan terlalu perlahan.

"Dalam keadaan negara yang mempunyai banyak institusi awam, swasta dan masyarakat ia sepatutnya boleh digunakan secara maksimum untuk mempercepatkan proses vaksinasi.

"Ketika ini mereka yang layak divaksin terutamanya golongan warga emas dan dewasa masih perlu beratur panjang untuk mendapatkan suntikan dos pertama sementara suntikan untuk golongan remaja dan kanak-kanak masih belum bermula," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Khamis.

Mengambil contoh program vaksinasi di PPV Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP) di daerah Kuala Muda, beliau berkata, jumlah suntikan vaksin dos pertama paling maksimum boleh dilaksanakan dalam sehari hanya untuk 1,000 orang

"Sedangkan daerah itu mempunyai lebih 300,000 penduduk dan kita menjangkakan untuk melengkapkan suntikan dos kedua, penduduk daerah itu akan mengambil masa hampir dua tahun," katanya.

Mohd Azmi berkata, banyak lokasi lain juga boleh dijadikan pusat suntikan lokal antaranya di masjid, surau, balai orang ramai, pejabat penghulu dan lain lain lagi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan juga boleh tetapkan masa dan hari tertentu supaya penduduk di sesuatu kawasan itu dapat diselesaikan suntikan vaksin dalam tempoh satu hari sahaja.

"Pada masa yang sama satu pasukan khas perlu ditubuhkan untuk membolehkan petugas vaksin turun ke rumah warga emas dan golongan miskin supaya suntikan vaksin dapat diberikan di rumah mereka.

"Saya berharap semua pihak termasuk kerajaan Pusat dan negeri dapat mengatasi proses vaksinasi yang rumit dan lambat ini dengan kadar segera demi kebaikan rakyat," katanya.

Pada Rabu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memohon kebenaran dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memberi perhatian terhadap penambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) khususnya di daerah besar dan mempunyai kepadatan penduduk tinggi di negeri ini.