Projek PSR perlu dibatalkan

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

GEORGETOWN - Kementerian Alam Sekitar dan Air perlu membatalkan kelulusan awal yang diberikan Jabatan Alam Sekitar berhubung Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, projek berkenaan perlu dikaji semula berikutan banyak keraguan selain memberi impak negatif termasuk kemusnahan kekal terhadap alam sekitar.

Menurut ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, PSR yang diumumkan pada tahun 2015 asalnya bertujuan untuk membiayai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Bagaimanapun, katanya, PSR kini tidak lagi menjadi asbab pembiayaan PTMP tetapi tertumpu kepada penghasilan dan penjualan harta tanah spekulatif dengan meminggirkan kepentingan alam sekitar dan ekosistem seimbang.

“Walaupun saya bersama rakan-rakan dalam PKR pada awalnya menyokong pembangunan sistem pengangkutan awam yang lebih baik, keraguan mula timbul apabila PTMP diubah untuk merangkumi lebuh raya mega merentasi bukit dan sungai, Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, skycab dan pelan tambakan laut.

“Projek ini boleh digambarkan sebagai penswastaan laut secara tidak langsung untuk pembangunan yang berpaksikan kepentingan swasta,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Nurul Izzah berkata, antara sebab kerajaan negeri dan pusat perlu menimbang semula projek berkenaan ialah kerana negara sedang menangani gelombang pandemik dengan pemulihan yang tidak dapat dijangkakan.

“Rakyat Pulau Pinang tidak patut dibebankan dengan projek penuh dengan risiko, hutang, ketidakpastian dan pusingan U lebih-lebih lagi ketika penularan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Keseluruhan projek PSR akan dibiayai dan dikendalikan oleh usaha sama 70-30 antara SRS Consortium Sdn Bhd (rakan penyampaian projek untuk PSR) dan kerajaan Pulau Pinang. Projek tersebut kini merupakan projek mega yang dikemudi pihak swasta,” katanya.

Dalam kenyataan pada 23 Mei lalu, katanya, SRS Consortium Sdn Bhd menyatakan bahawa perjanjian usahasama 70-30 akan memastikan Pulau Pinang mendapat manfaat daripada pelaburan langsung asing, sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam jangka masa pembangunan selama 30 tahun untuk tiga pulau PSR.

Beliau berkata, walaupun tidak dinafikan keperluan penilaian berterusan dan peningkatan infrastruktur fizikal, institusi dan sosial, ia tidak boleh mengakibatkan kemusnahan alam sekitar kekal seperti diakui perunding Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) SRS sendiri.


Projek PSR yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Projek PSR yang akan dijalankan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Tambah beliau, visi dan impian kerajaan untuk meninggalkan warisan tidak boleh mengorbankan keperluan rakyat, bukan sahaja periuk nasi nelayan yang terjejas tetapi semua penduduk Pulau Pinang.

“Penting juga untuk ditanya, adakah projek infrastruktur ini memberi nilai bermakna bagi negeri dan rakyatnya?

“Kita perlu merakyatkan usaha peningkatan kemahiran untuk membolehkan masyarakat tempatan bersaing secara berkesan dalam mendapatkan pekerjaan berkemahiran tinggi, lebih-lebih lagi dengan kehilangan peluang pendidikan disebabkan pandemik terutama bagi anak-anak dari isi rumah berpendapatan rendah,” katanya.

Nurul Izzah turut mempersoalkan mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang memutuskan untuk meneruskan projek berkenaan walaupun EIA mengesahkan bahawa PSR akan mengakibatkan kehilangan alam sekitar secara kekal.

“Walaupun kami setuju dengan tujuan kerajaan negeri yang mahu membangunkan kota pintar, menyediakan pekerjaan, mengembangkan modal insan, memperluas Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas (BLFTZ), meredakan tekanan pembangunan di Georgetown dan mewujudkan permulaan serta peluang baharu untuk nelayan, kita perlu ingat bahawa penambakan adalah aktiviti yang berkos tinggi dari segi kewangan dan sosioekonomi,” ujar beliau.

Beliau berkata, daripada menambak tanah seluas 4,500 ekar dari laut, terdapat banyak tanah di daratan Pulau Pinang yang boleh diusahakan.

Hal ini harus menjadi trajektori utama pembangunan Pulau Pinang selari dengan visi Penang 2030.

Kesan kepada nelayan

Menurutnya, projek PSR itu bukan sahaja akan menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan dan meningkatkan kadar kemiskinan, malah mengancam keselamatan nelayan.

“Walaupun kerajaan negeri menawarkan pakej dan program ex-gratia bertujuan untuk memberikan faedah jangka panjang kepada seramai 1,615 nelayan yang terjejas, projek ini bakal mengancam mata pencarian hampir 5,000 nelayan. Ia akibat impak penambakan yang melangkaui Teluk Kumbar dan perairan Pulau Pinang.

“Walaupun terdapat pampasan untuk nelayan terjejas, kuantum pampasan dan langkah-langkah mitigasi tidak mencukupi dan tidak akan menangani kos kerugian mata pencarian ditanggung oleh nelayan,” katanya.

Beliau berkata, justifikasi yang dinyatakan sehaluan dengan memorandum komuniti nelayan yang diterima ahli Parlimen PKR di Pulau Pinang, yang menyatakan sambutan positif terhadap projek PSR hanya diperoleh daripada nelayan sambilan dan nelayan yang telah bersara,” katanya.

Oleh demikian, kata Nurul Izzah, beliau tidak mempunyai pilihan selain menyuarakan bantahan ini secara terbuka dengan harapan projek penambakan ditamatkan dan digantikan dengan rancangan pembangunan dan pembaharuan ekonomi yang benar-benar lestari.

“Ia sejajar dengan keperluan untuk membangun kembali dengan lebih baik, walau berskala kecil tetapi pro rakyat, serta lebih hijau dalam pemulihan global pasca pandemik,” katanya.