Perlawanan Kuwait, Bahrain manfaatkan Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe
Tan Cheng Hoe
A
A
A

WALAUPUN Harimau Malaya tewas dalam kedua-dua perlawanan persahabatannya menjelang pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE), ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berkata anak buahnya tetap menerima manfaat.

Jurulatih berusia 53 tahun itu berkata sekalipun skuad kebangsaan kalah 1-4 kepada Kuwait dan 0-2 kepada Bahrain, kedua-dua perlawanan tersebut memenuhi matlamat, memastikan anak didiknya bersedia menghadapi kempen Kumpulan G selepas kira-kira 18 bulan 'berehat' disebabkan pandemik Cpvid-19.

“Kami memilih untuk menentang Kuwait dan Bahrain disebabkan gaya permainan mereka ada persamaan dengan UAE, dan pada masa sama kita perlu segera menyesuaikan diri dengan cuaca dan zon waktu di Timur Tengah. Saya berpandangan kedua-dua perlawanan itu memberi manfaat kepada pasukan kita.

“Kami memantau persiapan pasukan lain, saya lihat persiapan UAE sangat bagus, sekalipun di tengah-tengah pandemik mereka tetap adakan perlawanan persahabatan. Kita pula cuma jalani kem latihan yang singkat di Dubai, saya harap pemain-pemain kita sudah bersedia untuk hadapi perlawanan,” katanya pada sidang media praperlawanan di Dubai malam Rabu.

Rakaman persidangan media itu diperoleh daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia yang berkedudukan ke-153 dunia, bakal berdepan cabaran sukar menentang pasukan ke-73 dunia UAE di Stadium Zabeel, Dubai malam Khamis (12.45 tengah malam Jumaat di Malaysia).

Sementara itu, kapten pasukan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak sedar bahawa skuad semasa UAE adalah jauh lebih baik berbanding pasukan pada 2019 yang mengatasi Malaysia dengan kemenangan tipis 2-1, pada pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

“Kami tahu mereka melakukan beberapa perubahan termasuk membawa masuk pemain naturalisasi, namun pemain terbaik (yang harus diperhatikan) ialah Ali Mabkhout dan (pemain naturalisasi) Fabio Lima. Bagaimanapun bagi saya dalam permainan bola sepak tumpuan bukan hanya kepada satu atau dua pemain, seluruh pasukan perlu diberi tumpuan, dan paling penting ialah permainan kita,” kata pemain pertahanan tengah itu.

Artikel Berkaitan:

Selepas memasukkan tiga pemain naturalisasi - Fabio dan Caio Canedo dari Brazil serta pemain Argentina, Sebastian Tagliabue, the Al Abyad (The Whites) menunjukkan perubahan prestasi yang agak hebat, menewaskan India 6-0 dan Jordan 5-1 baru-baru ini.

Kali terakhir Malaysia mengalahkan UAE ialah dalam perlawanan persahabatan pada 1982 dengan skor 2-0. Keseluruhannya, daripada 14 pertembungan, Malaysia hanya menang tiga kali dengan dua keputusan seri dan tewas dalam sembilan lagi perlawanan, termasuk kekalahan terburuk 0-10 pada 2015.

Dalam perkembangan lain, FAM mengesahkan tiga pegawai Malaysia telah diberikan penghormatan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengadili perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pengadil kebangsaan Zairul Khalil Tan akan bertugas sebagai penolong pengadil dalam Kumpulan A di Sharjah, UAE, sementara pengadil FIFA Amirul Izwan Yaacob dan Mohamad Yusri masing-masing akan bertugas sebagai pengadil dan penolong pengadil dalam Kumpulan B di Kuwait.

Kumpulan A yang terdiri daripada China, Syria, Filipina, Maldives dan Guam akan memulakan kempen mereka pada Ahad, sementara sepak mula Kumpulan B melibatkan Australia, Jordan, Taiwan, Kuwait dan Nepal dijadualkan hari ini.

Seorang lagi pengadil Malaysia, Mohd Arif Shamil dilantik sebagai penolong pengadil dalam dua perlawanan Piala Cabaran Kirin 2021 dan satu perlawanan persahabatan melibatkan pasukan Bawah 24 Jepun di Sapporo Dome, Hokkaido, Jepun. - Bernama