Laporan pelanggaran LRT dibentang di kabinet Rabu depan

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan insiden pelanggaran tren Transit Aliran Ringan (LRT) akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet Rabu depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, selain itu cadangan untuk meningkatkan keselamatan pengangkutan awam turut akan dikemukakan seterusnya mencegah kejadian sama berulang.

"Jawatankuasa Siasatan telah melaksanakan beberapa perkara termasuk menyemak prosedur operasi standard (SOP), Manual Operasi, 'Rule Book' dan dokumen-dokumen panduan operasi yang berkaitan dalam siasatan yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, data yang dikumpul dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV), temusiasat bersama pihak berkaitan serta perbincangan teknikal lain yang berkaitan dengan pembekal teknologi turut terangkum dalam laporan ini.

"Bagi mendapatkan gambaran kejadian dengan lebih jelas, satu lawatan telah diadakan ke pusat kawalan operasi (OCC) LRT Kelana Jaya di Lembah Subang pada 1 Jun 2021, diikuti dengan sesi simulasi kemalangan di tempat kejadian oleh pihak Prasarana Malaysia Bhd pada hari sama," katanya.

Beliau berkata, penyiasatan yang dijalankan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan untuk mengenalpasti hal keadaan dan punca sebenar perlanggaran tren 40 dan tren 81 di antara Stesen KLCC dan Kampung Baru (arah selatan) bagi mengelakkan insiden sama berlaku pada masa hadapan..

Ka Siong berkata, tahap keselamatan pengguna pengangkutan awam sentiasa menjadi keutamaan dan kerajaan akan terus mencari jalan penyelesaian,

Jawatankuasa Siasatan yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak ditubuhkan selepas berlakunya insiden tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ia diberi masa 14 hari bermula 25 Mei lalu untuk melengkapkan siasatan seterusnya membentangkan kepada kabinet.

Dalam insiden itu yang berlaku pada 24 Mei lalu, seramai 47 penumpang cedera parah termasuk enam kritikal yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur manakala 166 yang lain cedera ringan.

ARTIKEL BERKAITAN:Kemalangan LRT pertama kali selepas 23 tahun beroperasi

Kerajaan akan pastikan kemalangan tren LRT tidak berulang: PM