Pusat jagaan anak yatim jual ikan tampung kos operasi

Seorang penduduk membeli ikan secara pandu lalu.
Seorang penduduk membeli ikan secara pandu lalu.
A
A
A

SEREMBAN - Bagi menampung kos operasi, Pusat Jagaan Anak Yatim Walidaina di Taman Satria di sini mengambil inisiatif menjual ikan segar pada Khamis.

Meskipun perancangan awal operasi mereka hanya bermula jam 9 pagi, namun orang ramai sudah mula menunggu sejam awal di hadapan pusat jagaan terbabit.

Pengasasnya, Mohd Zatullah Kamarudin berkata, beliau perlu kreatif mencari dana lebih-lebih lagi dalam keadaan ramai yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

"Saya tak boleh hanya bergantung pada bantuan semata-mata. Buat aktiviti jualan sebegini setidaknya dapatlah sedikit duit masuk.

"Dengan cara ini juga orang ramai akan kenal dengan pusat jagaan saya dengan harapan selepas ini mereka terbuka hati untuk membantu," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Menurutnya, usaha itu juga antara lain bagi memudahkan penduduk di kawasan sekitar membeli ikan tanpa perlu beratur panjang di pasar atau pasar raya.

Mohd Zatullah (kiri) melayan penduduk yang mahu membeli ikan.
Mohd Zatullah (kiri) melayan penduduk yang mahu membeli ikan.

"Sekarang ini nak beratur masuk ke pasar saja perlu tunggu lebih 15 minit. Jadi dengan inisiatif ini setidaknya orang ramai tak perlu bersesak ke pasar sekali gus mengelakkan penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga buat konsep pandu lalu. Ada yang buat tempahan awal dan mereka hanya perlu datang ambil ikan dan buat bayaran," katanya.

Selain itu katanya, beliau juga menawarkan ikan secara percuma semasa PKP ini.

Ujarnya, tujuan penjualan ikan segar itu lebih kepada untuk beramal selain berharap ia juga dapat membuka hati orang ramai untuk sama-sama membantu pusat jagaan kendaliannya.

"Kalau nak ikutkan, kami tidaklah untung mana, tapi bolehlah sikit tambah duit tabung pusat jagaan ini. Paling penting kami dapat memudahkan penduduk setempat.

"Saya percaya jika kita mudahkan orang lain, ALLAH akan mudahkan urusan kita. Pada hari ini (Khamis) sebanyak, 100 kilogram ikan pelaling dan ikan cencaru serta 30 kilogram ikan tongkol yang terjual," katanya.

Kata Mohd Zatullah, melihat sambutan yang menggalakkan itu, beliau merancang untuk meneruskan penjualan ikan pada hari lain.