MB, Exco Johor sumbang tiga bulan gaji untuk tabung bencana negeri

HASNI
HASNI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Menteri Besar dan semua Exco Kerajaan Negeri Johor menyumbangkan tiga bulan gaji mereka bermula bulan ini kepada Tabung Bencana Negeri Johor.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu diputuskan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengadakan mesyuarat mingguan pada Rabu.

Kata beliau, sumbangan gaji itu akan digunakan untuk mempertingkatkan keupayaan tahap kesihatan awam negeri tersebut dalam mendepani dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

"Sejak ditubuhkan pada tahun lalu ekoran penularan Covid-19, Tabung Bencana Negeri Johor sudah menerima sumbangan sebanyak RM44.83 juta dalam bentuk wang tunai dan peralatan daripada pelbagai pihak.

"Sehingga kini, sebanyak RM41.65 juta sumbangan sudah digunakan untuk manfaat rakyat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hasni turut mengajak semua wakil rakyat di negeri itu menyumbang sebahagian daripada elaun yang diterima ke dalam Tabung Bencana Negeri Johor untuk membantu rakyat.

"Saya juga ingin menyeru pihak swasta, korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan individu yang prihatin untuk menyumbang ke dalam tabung berkenaan bagi membantu dan memberi manfaat kepada lebih ramai pihak memerlukan.

"Rakyat Johor juga dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: