Pendaftaran vaksin Covid-19 di Melaka meningkat

Seorang warga emas selesai mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tun Ali. - Foto Bernama
Seorang warga emas selesai mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Tun Ali. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Trend pendaftaran penerimaan suntikan vaksin Covid-19 di Melaka menunjukkan peningkatan sejak akhir bulan lepas dengan purata pendaftaran baharu penerima vaksin adalah antara 5,000 dan 7,000 orang setiap hari.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Melaka, Mohd Nasrul Menhat berkata, ia satu petunjuk positif dan berharap sasaran imuniti kelompok dengan 80 peratus populasi rakyat negara ini divaksinasi dapat dicapai.

“Setakat 1 Jun, jumlah pendaftaran vaksin adalah sebanyak 385,184 daripada 701,000 iaitu 54.95 peratus daripada populasi rakyat negeri Melaka yang layak menerima vaksin.

“Untuk jumlah berdaftar mengikut pecahan bagi daerah, Melaka Tengah mencatat sebanyak 246,276, Alor Gajah (80,755) dan Jasin 58,153 orang,” katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

Jelasnya, pelbagai usaha dilaksanakan melalui kerjasama daripada agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jabatan Penerangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, MERCY Malaysia dan Belia 4B yang turun padang untuk membantu masyarakat dalam pendaftaran vaksin.

Sementara itu, lapan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu dibuka bermula 16 Jun bagi menampung proses pengagihan vaksin melibatkan rakyat negeri ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14 PPV di Melaka.

Katanya, tiga PPV akan dibuka dengan kerjasama pihak institusi pengajian tinggi dan industri iaitu di Universiti Teknologi Mara Lendu, Multimedia University dan CTRM Aero Composite di Batu Berendam, manakala selebihnya di Dewan Japerun Air Molek, Dewan Bunga Tanjung, Dewan MPHTJ, Dewan Japerun Klebang dan Dewan Japerun Sungai Udang.

“Kami menasihati orang ramai agar menepati masa untuk hadir ke PPV bagi penerimaan vaksin memandangkan sudah ada tempoh masa ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Tolong jangan melangkaui masa orang lain kerana kami risau, dalam beberapa kes, berlaku kesesakan yang bukan saja di pihak pengurusan tetapi juga pelanggaran prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan sebanyak 49,724 daripada 701,000 atau 7.09 peratus rakyat Melaka telah menerima suntikan vaksin bagi fasa pertama dan kedua. - Bernama