Robert Kuok kekal individu paling kaya di Malaysia

Robert Kuok
Robert Kuok
A
A
A

SINGAPURA - Hartawan dalam Senarai Orang Paling Kaya Forbes Malaysia 2021 menyaksikan peningkatan bagi kekayaan kolektif mereka berikutan ia menokok 14 peratus kepada hampir AS$90 bilion tahun ini, selepas mencatatkan penyusutan selama dua tahun.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, Forbes berkata, Tan Sri Robert Kuok yang menerajui empayar hartanah dan komoditi terus menggungguli senarai itu dengan kekayaan sebanyak AS$12.2 bilion, sekali gus yang tertua dalam senarai itu pada usia 97 tahun.

Sementara itu, Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong kekal berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan sebanyak AS$9.6 bilion.

Forbes berkata, ekonomi Malaysia yang dilanda pandemik dengan penguncupan 5.6 peratus pada 2020 dijangka kembali ke landasan pada tahun ini.

“Namun, pada masa ini negara itu sedang bergelut dengan lonjakan kes Covid-19.

“Walaupun indeks saham petunjuk pasaran meningkat sederhana pada 2.5 peratus sejak kekayaan itu diukur kali terakhir pada 15 bulan lepas, 50 individu terkaya negara itu menyaksikan gabungan peningkatan kekayaan sehingga hampir AS$90 bilion, menokok daripada AS$79 bilion pada tahun lepas,” katanya.

Forbes berkata, keadaan itu antara lain disumbangkan oleh kedudukan dominan negara itu sebagai pembuat sarung tangan perubatan dunia.

Semasa tahun pandemik, permintaan global terhadap alatan perlindungan sedemikian mencatatkan kenaikan ketara, eksport sarung tangan getah Malaysia pula adalah dua kali ganda, sekali gus meningkatkan kekayaan pengeluar terbesar dunia, katanya.

Artikel Berkaitan:

Lima daripada mereka tersenarai dalam kalangan 50 paling kaya dengan dua daripadanya iaitu Kuan Kam Hon (No.7, AS$3.8 bilion) dari Hartalega Holdings dan Lim Wee Chai (No.8, AS$3.5 bilion) dari Top Glove berada pada kedudukan 10 terbaik.

Koon Poh Keong yang berkongsi kekayaan logam dengan empat adik-beradiknya merupakan penerima dolar terbesar pada tahun ini.

Saham mereka di Press Metal Aluminium Holdings meningkat berikutan harga logam yang mencatatkan pemulihan, menokok AS$3.4 bilion kepada kekayaan mereka, sekali gus menempatkan Kong dan adik-beradiknya di tangga ketiga dengan nilai bersih AS$6.4 bilion, kata Forbes.

Kembali tersenarai adalah Lim Kuang Sia (No.14, AS$1.4 bilion) yang menguasai Kossan Rubber Industries dengan saudara kandungnya, dan Stanley Thai (No.20, AS$1.1 bilion) selaku pengasas bersama dan mengendalikan Supermax Corp. bersama-sama isterinya, Cheryl Tan.

Forbes berkata, terdapat lima pendatang baharu dalam senarai tahun ini.

Antara yang tersenarai adalah Tan Yu Yeh dan Yu Wei dari Mr D.I.Y. Group selaku pendatang baharu paling kaya pada kedudukan ke-10 dengan kekayaan AS$2.7 bilion.

Empat nama baharu lain yang kesemuanya berpangkalan di Pulau Pinang selaku hab teknologi yang sibuk, menerima manfaat daripada ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China berikutan syarikat global yang berusaha untuk mempelbagaikan rantaian bekalan.

Mereka adalah Tan Eng Kee (No.22, AS$965 juta), pengasas bersama Greatech Technology, pembuat peralatan automasi kilang; Ng Chai Eng (No.37, AS$450 juta) dan Lau Chee Kheong (No.38, AS$445 juta), pengasas bersama syarikat perkhidmatan kejuruteraan UWC, dan Steven Siaw Kok Teng (No.49, AS$325 juta), pengasas bersama ViTrox, pembuat sistem pemeriksaan mesin kejituan tinggi.

Bagaimanapun, pandemik telah menjejaskan 19 senarai apabila kekayaan mereka telah merosot. Antara yang paling terkesan ialah hartawan kasino, Chen Lip Keong (No.9, AS$3.4 bilion) dan Lim Kok Thay (No.11, AS$2.55 bilion).

Tujuh daripada yang disenaraikan pada tahun lepas, tidak lagi tersenarai iaitu Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun dari AirAsia berikutan pandemik yang berlanjutan ini menyuramkan harapan untuk sektor perjalanan kembali pulih.

Nilai bersih minimum untuk disenaraikan pada tahun ini adalah AS$315 juta, meningkat daripada AS$255 juta tahun lepas.

Senarai lengkap ini boleh diperolehi di www.forbes.com/malaysia dan edisi terkini Forbes Asia. - Bernama