X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki minta bicara 100 pertuduhan amang seksual

Tertuduh (tengah) mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas 100 pertuduhan membabitkan 34 kes melakukan amang seksual ke atas dua kanak-kanak lelaki, sejak tahun lalu.
A
A

IPOH - Seorang kakitangan pusat jagaan anak yatim dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas 100 pertuduhan membabitkan 34 kes melakukan amang seksual ke atas dua penghuni pusat berkenaan, sejak tahun lalu.

Emeer Ahmad Ahmad Jaafar, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual dan menunjukkan kemaluan terhadap dua kanak-kanak lelaki yang juga pasangan adik-beradik berusia 13 dan 10 tahun.

Kejadian itu didakwa dilakukannya di beberapa lokasi antaranya di pusat jagaan itu sendiri, rumah kediaman di Bandar Seri Botani dan apartment di Cameron Highlands antara 1 November 2020 sehingga 9 April 2021.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa atas 98 pertuduhan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara dua lagi pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail memohon mahkamah agar tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh atas kepentingan awam dan mengambil kira tahap keseriusan kes serta jumlah pertuduhan yang dikemukakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ditahan kes amang seksual anak yatim

Katanya, mangsa-mangsa yang terlibat dalam kes berkenaan membuktikan kecenderungan tertuduh yang berminat terhadap kanak-kanak atau pedofilia.

"Mangsa yang terlibat tinggal di pusat jagaan dan kemungkinan diuruskan oleh tertuduh, keakraban itu menjadikan potensi untuk tertuduh mengganggu mangsa adalah tinggi," katanya.

Peguam Robert S Gnananarajan yang mewakili tertuduh memohon agar jaminan diberikan kerana kes berkenaan bukanlah kes unbailable (tidak boleh dijamin langsung).

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM1,000 bagi setiap kes dengan jumlah keseluruhan RM34,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 September depan sebagai sebutan semula kes.

Sepanjang prosiding, semua peguam, timbalan pendakwa raya, hakim, jurubahasa, polis dan tertuduh mengenakan sut pakaian perlindungan diri (PPE) sambil dibantu tiga pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai kawalan kerana tertuduh pernah disahkan positif Covid-19 dan selesai menjalani kuarantin pada 27 Mei lalu.

Selesai prosiding, kamar mahkamah serta kawasan sekitar yang menjadi laluan tertuduh turut disanitasi oleh KKM.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan perbuatan dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas bapa saudara dua beradik itu melihat mangsa dalam keadaan mencurigakan selain berubah sikap dan emosi ketika dibawa bercuti ke rumahnya di Kampung Kepayang di sini.

Apabila ditanya, kedua-dua mangsa memberitahu bahawa mereka telah dicabul dan cuba diliwat oleh tertuduh di beberapa lokasi termasuklah di bangunan lama dan asrama baharu pusat jagaan itu serta ketika dibawa bercuti ke Cameron Highlands.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!