Bentuk kerajaan perpaduan selamatkan negara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pembentukan sebuah kerajaan perpaduan dicadangkan bagi memberi keyakinan kepada rakyat dalam usaha memerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Perkara itu dicadangkan oleh Penganalisis Dasar Awam, Dr Lim Teck Ghee dan Pensyarah Seni Bina UCSI University, Profesor Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi.

Menurut mereka, antara langkah-langkah berkenaan adalah pertamanya Yang di-Pertuan Agong menggunakan kuasa eksekutif Seri Paduka Baginda untuk menangguh pilihan raya dan memberi laluan kepada penubuhan kerajaan perpaduan dipimpin seorang Perdana Menteri yang menerima sokongan majoriti 222 ahli Parlimen.

“Setiap ahli Parlimen menulis secara rahsia nama calon yang layak menjadi Perdana Menteri. Pemilihan sebegini mengurangkan ugutan dan tindakan parti sendiri.

“Nama lima ahli Parlimen yang terbanyak dicalonkan akan dinyatakan tanpa hasil kiraan undi didedahkan. Selepas itu, proses pusingan kedua undian akan dibuat,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Rabu.

Idea mengenai cadangan kerajaan perpaduan ini sebelum ini juga pernah dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, mereka berkata, bagi pusingan kedua berkenaan, pemilihan secara rahsia juga dibuat ke atas kelima-lima nama dengan hanya satu undi untuk setiap ahli Parlimen dan calon yang mendapat undi terbanyak akan menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, kata mereka, sekiranya tidak terdapat satu majoriti jelas maka undian pusingan ketiga akan dilakukan ke atas dua calon memperoleh undi yang sama banyak dan tertinggi.

Artikel Berkaitan:

“Bagi pusingan ini, undian secara terbuka perlu dibuat untuk mengetahui sokongan majoriti sebenar ahli Parlimen bagi calon Perdana Menteri yang menang.

“Setelah sah dipilih, maka Perdana Menteri akan memilih ahli kabinetnya. Bagi memastikan kewujudan sebuah kabinet perpaduan, satu pertiga ahli kabinet perlu datangnya daripada pihak pembangkang,” tegas mereka.

Tambah mereka, perkara itu juga bermakna Perdana Menteri akan hanya dapat memilih dua pertiga ahli kabinet daripada parti sokongannya.

“Ataupun kurang dari itu jika beliau memilih untuk melantik beberapa ahli kabinet dalam kalangan profesional dari luar Parlimen yang secocok kepakaran serta berintegriti,” kata mereka lagi.

Mereka dalam masa sama turut mencadangkan agar dua orang Timbalan Perdana Menteri dilantik bagi memastikan keseimbangan perwakilan wilayah dan kabinet perpaduan berkenaan sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.