Wabak LSD pada lembu mula serang Selangor

Kulit lembu yang dijangkiti penyakit LSD akan mempunyai ketulan.
Gambar kecil: Ir Izham Hashim
Kulit lembu yang dijangkiti penyakit LSD akan mempunyai ketulan. Gambar kecil: Ir Izham Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Penyakit kulit kental (LSD) mula dikesan menyerang ternakan lembu di daerah Sabak Bernam dan Hulu Selangor sejak beberapa hari lalu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Ir Izham Hashim berkata, wabak penyakit itu dibimbangi boleh merebak kepada ternakan lembu lain.

Menurutnya, penularan penyakit yang disebarkan melalui serangga seperti agas dan nyamuk itu mula dikesan di negara Vietnam dan Thailand serta boleh disebarkan melalui gigitan serangga seperti agas dan nyamuk.

“Apabila pembawa (serangga) tersebut hinggap pada lembu yang dijangkiti, virus tersebut boleh dipindahkan kepada lembu lain," katanya pada pada Majlis Pelancaran Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Rabu.

Izham berkata, jangkitan LSD pada ternakan menyebabkan kulit lembu dijangkiti mempunyai ketulan.

"Daging lembu dijangkiti LSD tidak boleh dimakan kerana ia berisiko mengganggu kesihatan manusia," jelasnya.

Dalam pada itu, Izham berkata, penyakit itu turut menimbulkan kebimbangan kepada penternak menjelang perayaan Aidiladha pada Julai depan.

"Penternak lembu disarankan untuk memantau lembu ternakan masing-masing kerana kita khuatir ternakan mereka mungkin dijangkiti LSD.

Artikel Berkaitan:

"Penternak perlu segera menghubungi pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut seperti menyembur racun bagi membunuh agas-agas tersebut yang menjadi punca penyebaran virus," ujarnya.

Izham memaklumkan, wabak LSD hanya berlaku pada lembu dan tiada kes jangkitan dilaporkan terjadi kepada haiwan ternakan lain seperti kambing.

“Kalau perkara ini berlaku secara berterusan, mungkin kita hanya makan kambing pada Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya.

JPV pada Selasa lalu melaporkan, pihaknya mengesan penularan LSD yang menjangkiti ternakan lembu dan kerbau di Perak.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sehingga kini satu lokasi dikenal pasti di Simpang Pulai melibatkan sebuah ladang ternakan lembu yang dijangkiti penyakit tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyakit kulit serang lembu, kerbau di Perak