LHDN beri kelonggaran bayaran cukai, penalti

Tangkap layar kenyataan LHDN mengenai kelonggaran bayaran cukai pada Khamis.
Tangkap layar kenyataan LHDN mengenai kelonggaran bayaran cukai pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi kelonggaran bayaran cukai dan penalti, khusus untuk pembayar cukai yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

LHDN dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, kelonggaran di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) itu bertujuan meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

Menurutnya, kelonggaran yang ditawarkan adalah penangguhan bayaran penalti yang berkaitan dengan kewajipan cukai ke tahun 2022.

“Dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang perlu dibayar.

“Penalti yang termaktub dalam tawaran ini adalah yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949,” katanya.

Jelas kenyataan tersebut, permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi mereka yang hilang punca pendapatan atau menghadapi isu untuk selesaikan cukai yang tertunggak juga diberi pertimbangan.

Ujarnya, pertimbangan turut diberi untuk penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh.

“Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kenyataan tersebut berkata, kelonggaran hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Golongan yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuatkuasa.

“Pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka,” jelasnya.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara) atau pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.