Penganggur didakwa bunuh rakan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya di sebuah kawasan tanah lapang di Jalan Kampung Jawa di sini pada 7 Februari lepas.

P. Sures Roo , 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Lelaki itu didakwa membunuh Dharma Raj, 34, antara pukul 4 petang dan 4.30 petang dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan sementara menunggu laporan kimia, forensik dan bedah siasat.

Rini Triany menetapkan 1 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.- Bernama

Artikel Berkaitan: