X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka tinggi susulan permintaan terhadap minyak pulih

Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS untuk dibuka tinggi pada Khamis berikutan permintaan terhadap minyak global.
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS untuk dibuka tinggi pada Khamis berikutan permintaan terhadap minyak global mengekalkan pemulihannya dengan harga minyak berlegar melebihi AS$71 setong, kata peniaga.

Pada jam 9.02 pagi, mata wang tempatan itu menokok kepada 4.1190/1220 berbanding dolar AS daripada 4.1240/1250 sewaktu ditutup pada Rabu.

Setakat ini, harga penanda aras minyak mentah Brent naik 0.38 peratus kepada AS$71.62 setong.

Peniaga berkata, permintaan terhadap minyak global semakin baik pada musim panas ini, didorong oleh pemulihan Covid-19 yang berterusan di Amerika Syarikat (AS), China dan sebahagian Eropah berikutan vaksinasi yang dipercepatkan, mendorong lebih ramai rakyat untuk melakukan perjalanan.

Sementara itu, peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, pasaran bergerak tanpa hala tuju yang jelas menjelang pengeluaran data pekerjaan bukan ladang ADP, sebagai gambaran awal senarai gaji bukan ladang dan Tuntutan Pengangguran Awal di AS.

“Pelabur juga akan memantau rapat data senarai gaji bukan ladang yang dijadualkan pada Jumaat, kerana secara keseluruhannya, empat penunjuk makro (termasuk Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan ISM) akan menawarkan pelabur gambaran yang lebih jelas mengenai kekuatan pemulihan ekonomi AS dan seterusnya akan memberi kesan kepada hala tuju dolar untuk beberapa minggu akan datang,” katanya.

Sewaktu dibuka, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar AS, ringgit naik sedikit kepada 3.1148/1173 daripada 3.1153/1163 sewaktu ditutup semalam dan meningkat berbanding yen kepada 3.7558/7589 daripada 3.7565/7579.

Bagaimanapun, ringgit lemah berbanding euro kepada 5.0285/0321 daripada 5.0226/0238 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8370/8413 daripada 5.8322/8336. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!