X

Kindly register in order to view this article
!

Taktik pemilik kilang papan tak menjadi

Lapan pekerja warga asing ditahan ketika sedang leka menjalankan kerja-kerja memotong dan menyusun papan di sebuah kilang di Salak Baru, Sungai Siput, pada Rabu.
A
A

SUNGAI SIPUT - Beroperasi secara sembunyi ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh dengan menggunakan ruang belakang kilang pada waktu malam merupakan taktik digunakan pemilik sebuah kilang papan di Salak Baru di sini.

Bagaimanapun, tindakan mereka itu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila diserbu sepasukan anggota polis pada Rabu.

Dalam serbuan sekitar jam 9 malam itu, pemilik kilang tersebut dikenakan kompaun RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu beroperasi tanpa kebenaran ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, maklumat risikan diperolehi, kilang itu tidak dibenarkan beroperasi kerana bukan dikategorikan sebagai perkhidmatan penting.

Bukan itu sahaja, malah katanya, kilang sama juga ingkar perintah tutup oleh mahkamah pada Mei lalu kerana gagal mematuhi kehendak-kehendak Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Mohd Khaizam (tengah) memeriksa keadaan kilang kayu di Salak Baru, Sungai Siput pada Rabu kerana beroperasi tanpa kebenaran ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.
Mohd Khaizam (tengah) memeriksa keadaan kilang kayu di Salak Baru, Sungai Siput pada Rabu kerana beroperasi tanpa kebenaran ketika tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

"Pemilik premis berusia lingkungan 40-an itu mengaku terpaksa meneruskan operasi kerana bimbangkan stok kayu di kilang itu mengalami kerosakan.

"Untuk mengelak dikesan pihak berkuasa, mereka menutup pintu pagar utama kilang bagaimanapun menggunakan laluan lain untuk masuk ke dalam kawasan kilang.

"Mereka juga menjalankan kerja-kerja hanya pada waktu malam iaitu selepas jam 6 petang sehingga 10 malam dengan mengupah pekerja asing pada kadar RM8 satu jam," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, semasa serbuan, terdapat tidak kurang 20 pekerja warga asing sedang leka menjalankan kerja-kerja memotong dan menyusun papan.

Katanya, polis menahan lapan daripada pekerja itu terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh dan Indonesia berusia lingkungan 20 hingga 50-an, manakala selebihnya sempat melarikan diri di dalam kawasan semak berhampiran.

"Kompaun dikeluarkan ke atas pemilik kilang mengikut Seksyen 17(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

"Sementara pekerja warga asing dikenakan tindakan di bawah Seksyen 17(1) akta sama selain Akta Imigresen 1959 kerana sebahagiannya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tamat tempoh," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!