Gadis 'runner' syukur dapat langsai hutang PTPTN

Siti Rafiah sanggup ke luar daerah untuk memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.
Siti Rafiah sanggup ke luar daerah untuk memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.
A
A
A

KOTA BHARU - Ketika ramai hilang pekerjaan dan terbelenggu dengan hutang, lain pula kisahnya dengan seorang gadis nekad menjadi penghantar barang atau 'runner'.

Ternyata, pekerjaan sambilan tersebut membuka jalan kepada seorang gadis untuk melangsaikan hutang bulanan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Siapa sangka, pekerjaan yang dilakukan secara 'suka-suka' itu pada peringkat awal akhirnya menjadi kerja sambilan apabila negara dilanda pandemik Covid-19 dan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Siti Rafiah Abdul Rashid, 29, yang melibatkan diri dalam pekerjaan tersebut sejak tiga tahun lalu mengakui dia hanya mahu membantu rakannya.

Bahkan, setelah beberapa kali mencuba melakukan pelbagai pekerjaan lain, rezeki tidak berpihak kepadanya.

Anak kelahiran Kampung Hutan Mala, Chetok itu akhirnya nekad menjadi penghantar barang.

"Sebagai 'runner', kita tidak boleh mengalah dengan cuaca, panas atau hujan barang tetap perlu dihantar.

Artikel Berkaitan:

Cuaca hujan atau panas bukan halangan kepada Siti Rafiah untuk memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.
Cuaca hujan atau panas bukan halangan kepada Siti Rafiah untuk memenuhi permintaan pelanggan-pelanggannya.

"Selain kawasan sekitar, saya juga tidak kisah keluar daerah untuk menghantar barang-barang pelanggan," ujar beliau yang memperkenalkan perkhidmatannya melalui laman sosial Facebook.

Menyentuh tentang upah penghantaran, caj yang dikenakan adalah mengikut jarak dan lokasi. Paling murah, katanya sekitar RM5.

Selain menghantar barang, dia juga mengambil upah menghantar dokumen ke pejabat-pejabat kerajaan.

Selain menjadi runner, Siti Rafiah juga bekerja sebagai jurugambar sambilan. Namun, disebabkan kurangnya majlis- majlis keraian ekoran pandemik Covid-19, maka dia menumpukan pada pekerjaan sebagai 'runner'.

Menurutnya, walaupun seorang wanita, sebagai 'runner' dia tetap melakukan kerja-kerja sama seperti lelaki.

"Saya juga perlu mengangkat dan menggalas barang berat, mengalami sakit pinggang dan belakang, namun itu bukan halangan untuk saya memikul tanggungjawab ini.

"Saya perlu kuat semangat kerana ia adalah sumber rezeki," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rabu.

Tugas sebagai penghantar barang tidak mudah, namun Siti Rafiah gembira dengan pekerjaan yang dilakukannya.
Tugas sebagai penghantar barang tidak mudah, namun Siti Rafiah gembira dengan pekerjaan yang dilakukannya.

Ditanya sama ada dia tidak bimbang dijangkiti Covid-19 kerana perlu berurusan dengan orang ramai, Siti Rafiah menjelaskan, dia akan memastikan dirinya dan pelanggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik (Kejuruteraan Komputer) dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka itu juga memberitahu, dia akan memastikan motosikalnya dalam keadaan baik memandangkan dia melakukan perjalanan yang jauh saban hari.

"Saya bersyukur, meskipun upah tidak seberapa dan banyak cabaran sebagai seorang 'runner', yang penting saya dapat melangsaikan yuran PTPTN selain berkongsi rezeki dengan ibu,"katanya.