Menggembleng global perangi rasuah

No Image Caption
A
A
A

DI SEBALIK pelbagai usaha dan inisiatif yang digerakkan secara aktif, sama ada peringkat antarabangsa, serantau dan domestik, rasuah terus kekal sebagai ancaman utama terhadap kestabilan serta kemakmuran masyarakat, malah terus membawa implikasi negatif terhadap aturan undang-undang, pembangunan dan hak asasi manusia.

Dalam hal ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah antara entiti dunia yang memberi tumpuan secara berterusan bagi memerangi masalah rasuah. Pada 17 Disember 2018, Perhimpunan Agung PBB telah meluluskan resolusi 73/191 bertajuk ‘Sesi Khas Perhimpunan Agung Memerangi Rasuah’ agar diadakan pada separuh pertama tahun ini bagi membincangkan cabaran dan langkah-langkah memerangi rasuah serta mengeratkan kerjasama antarabangsa.

Di bawah resolusi itu, Perhimpunan Agung telah memutuskan bahawa sesi khas akan menerima deklarasi politik yang ringkas dan berorientasikan tindakan yang dipersetujui terlebih dahulu melalui konsensus antara kerajaan di bawah naungan Persidangan Negara-negara Anggota Berkaitan Konvensyen PBB Menentang Rasuah.

18 tahun lalu, PBB telah menggubal Konvensyen PBB Menentang Rasuah (UNCAC) yang berkuat kuasa mulai 14 Disember 2005. Kandungan konvensyen itu yang turut diterima pakai oleh Malaysia dan dijadikan panduan bagi memerangi rasuah sejak itu, merupakan satu instrumen paling komprehensif dan universal mengenai usaha melawan, mencegah serta memerangi rasuah.

Ia merangkumi lima bidang utama iaitu langkah-langkah pencegahan, kriminalisasi dan penegakan undang-undang, kerjasama antarabangsa, pemulihan aset serta bantuan teknikal dan pertukaran maklumat.

UNCAC merangkumi pelbagai bentuk rasuah seperti suapan, penggunaan pengaruh, penyalahgunaan kuasa dan pelbagai amalan yang melibatkan kedua-dua sektor, awam serta swasta.

Bagi mencapai sasaran memerangi rasuah habis-habisan, PBB yang genap 75 tahun penubuhannya, menekankan perlunya usaha berterusan bagi menggerakkan tindakan-tindakan holistik yang berkesan terutama dalam mencapai Agenda 2030 Pembangunan Mampan.

Ia menekankan keperluan mempromosikan sebuah komuniti aman dan inklusif untuk pembangunan lestari, menyediakan akses kepada keadilan untuk semua serta membangunkan institusi yang efektif, bertanggungjawab dan inklusif di semua peringkat serta prihatin terhadap keseriusan masalah dan ancaman kepada kestabilan serta keamanan masyarakat yang diakibatkan oleh amalan rasuah yang merosakkan institusi dan nilai demokrasi, etika dan keadilan serta menggugat pembangunan lestari dan kedaulatan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Mencegah

Berdasarkan maklumat yang disediakan menerusi laman web khas sesi khas itu yang dikenali dengan singkatan UNGASS 2020, resolusi tahun 2018, antara lain memutuskan sesi khas itu diadakan bagi mengupas cabaran dan langkah-langkah bagi mencegah dan memerangi rasuah serta mengukuhkan kerjasama antarabangsa.

Laman web UNGASS 2021 dibangunkan sebagai langkah pertama dalam proses persediaan dan diharap berfungsi sebagai repositori untuk semua maklumat berkaitan dengan sesi khas yang sedang berlangsung. Sesi khas tiga hari ini bermula semalam. Ia berlangsung di ibu pejabat PBB di New York, sebahagian daripada agenda sempena ulang tahun penubuhan badan dunia itu.

Bagi mencapai matlamat yang disasarkan, Perhimpunan Agung telah mengundang Persidangan Negara-negara Anggota supaya memimpin proses persiapan untuk sesi khas dengan menangani semua perkara organisasi dan substantif secara terbuka dan turut meminta Pejabat PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk memberikan kepakaran dan sokongan teknikal yang besar.

UNODC dan UNCAC merupakan usaha penting yang diambil dua dekad lalu bagi melihat impak holistik dalam menghapuskan rasuah. Hari ini, UNGASS diketengahkan sebagai platform susulan untuk memperkukuh usaha-usaha PBB sebelum ini.

Dunia memerlukan pendekatan lebih relevan bagi mencapai misi besar tersebut. Sesi khas ini berlangsung ketika dunia berdepan krisis kesihatan terburuk dalam satu abad iaitu Covid-19.

Meskipun ia dilihat sebagai masalah kesihatan tetapi secara langsung komponen rasuah dan konflik kepentingan diri dalam menangani pandemik tidak dapat dielakkan.

Menjelang sesi khas tersebut, Presiden Perhimpunan Agung PBB, Volkan Bozkir berharap pertemuan tiga hari itu akan memberi kesempatan untuk menilai risiko korupsi yang muncul dalam konteks pandemik Covid-19 dan menyediakan peluang untuk membahas langkah-langkah penguatkuasaan diperlukan bagi menangani risiko rasuah.

Sesi khas itu akan menampilkan diskusi panel dengan penyertaan pakar daripada organisasi antarabangsa, masyarakat sivil dan sektor swasta bagi menilai serta mengurangkan risiko rasuah semasa memerangi dan memulihkan respons terhadap Covid-19.

Dalam Volkan menekankan bahawa ‘dunia menghadapi masalah mendesak termasuk krisis kemanusiaan, konflik mematikan dan pandemik yang dahsyat, Covid-19 telah menunjukkan kepada kita dengan lebih jelas berbanding sebelumnya bahawa negara tidak dapat menangani cabaran ini sendiri.

Masalah global memerlukan penyelesaian global, dan itulah sebabnya kita perlu kembali kepada multilateralisme. Perhimpunan Agung, di mana semua negara anggota adalah setara, terletak secara unik untuk mengarahkan usaha bersama kita’.

Dalam perutusan yang dihantar kepada perwakilan badan antarabangsa itu, Volkan telah ‘mengundang beberapa pemimpin pertubuhan masyarakat sivil bagi menyampaikan pandangan dalam sesi pleno’.

Ia termasuklah Pengasas dan Pengarah Eksekutif Centre to Combat Corruption & Cronyism (C4) dari Malaysia, Cynthia Gabriel dan Pengarah Eksekutif Transparency International Zambia, Maurice Nyambe. Tidak dapat dinafikan, pemilihan C4 merupakan satu penghormatan bagi negara yang terus berusaha untuk menjadikan Malaysia ‘negara bebas rasuah’.

Rasuah bukan hanya masalah bagi satu-satu negara, sebaliknya ia merentasi sempadan. Apabila tidak ditangani secara bersama dengan menggembleng sumber tenaga dan kepakaran, ia berisiko membawa impak besar sebagaimana diakibatkan oleh Covid-19 pada hari ini. Banyak kes rasuah, konflik kepentingan diri, penyelewengan dan integriti telah melibatkan lebih daripada sebuah negara. Contoh-contoh itu jelas dalam peta dunia dan peringkat global hari ini.

Negara individu, serantau dan kesemua benua perlu memainkan peranan secara kolektif dalam misi memerangi rasuah.

Kes-kes rasuah ‘dalam skala terlalu besar’ yang disaksikan sejak beberapa tahun lalu menunjukkan komuniti antarabangsa perlu melipatgandakan peranan bagi mewujudkan persekitaran yang benar-benar mengutamakan governans dan integriti bersifat holistik demi manfaat setiap insan. Komuniti dunia berharap sesi khas PBB akan membawa sinar baharu dalam misi memerangi korupsi.

* Dr G Manimaran ialah ahli Pasukan Teras Rasuah Busters