Belajarlah menjadi manusia berhati nurani

No Image Caption
A
A
A

SEMALAM, seorang rakan pejabat Merak Jalanan berkongsi video kemalangan jalan raya di Sungai Besi membabitkan sebuah motosikal dan kereta Myvi putih.

Video berdurasi kira-kira 30 saat itu menunjukkan kedua-dua kenderaan bertembung sehingga menyebabkan penunggang motosikal terpelanting dan jatuh di jalan raya.

Kejadian berlaku ketika keadaan jalan kurang kenderaan susulan pelaksanaan total lockdown fasa satu di seluruh negara bagi tempoh dua minggu bermula 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021.

Keadaan lebih buruk berlaku apabila kereta terbabit terus memecut meninggalkan lokasi kemalangan. Kejadian langgar lari itu bagaimanapun berjaya dirakam pemandu kereta lain.

Apa yang Merak Jalanan kesal adalah sikap segelintir orang kita yang hilang nilai kemanusiaan dan kebertanggungjawaban. Tergamak mereka meninggalkan mangsa terdampar di atas jalan. Mujurlah kereta di belakangnya sempat memberhentikan kenderaan, jika tidak mangsa pastinya digilis kenderaan lain.

Mujur juga ada pemandu kenderaan dan penunggang motosikal lain yang berhenti menghulurkan bantuan serta mengawal keadaan lalu-lintas. Dalam keadaan terkulai layu di atas jalan tar yang panas itu, dihadirkan manusia-manusia yang mempunyai hati nurani.

Hebat kuasa perpaduan rakyat Malaysia, namun sikap negatif segelintir individu yang tidak ramai inilah kadangkala merosakkan perpaduan dan keharmonian sesama kita.

Pada pendapat Merak Jalanan, penyebaran video tular seumpama ini wajar kita jadikan teladan dan panduan. Suatu hari nanti jika kita berdepan situasi sama, kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan mendoakan agar urusan mangsa kemalangan tersebut dipermudahkan dan mereka yang membantu itu mendapat rahmat serta perlindungan ALLAH SWT selalu.