Pengurus rumah kebajikan diarah bercuti

May Ing (dua, kanan) mengadakan perbincangan dengan pegawai JKM Taiping dan wakil pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping, hari ini.
May Ing (dua, kanan) mengadakan perbincangan dengan pegawai JKM Taiping dan wakil pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping, hari ini.
A
A
A

TAIPING - Seorang pengurus rumah kebajikan didakwa memukul seorang kanak-kanak di pekarangan Rumah Kanak-kanak Taiping, Jalan Stesen Hulu di sini pada Ahad lalu, diarahkan bercuti daripada bertugas sehingga siasatan polis selesai.

Timbalan Presiden Rumah Kanak-kanak Taiping, T Kunasegaran berkata, pengurus berusia 70 tahun dan sudah berkhidmat di rumah kebajikan itu sejak 18 tahun lalu, turut diarahkan bercuti bagi memberi laluan kepada pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping mengadakan satu mesyuarat agung tergempar (EGM) pada 3 Mac ini.

Menurutnya, meskipun kes berlaku disahkan bukan kes penderaan kanak-kanak, tetapi ianya berlaku membabitkan isu disiplin berlanjutan dan pihaknya memohon maaf kepada semua pihak di atas insiden berlaku.

"Pihak kami turut mengesahkan mangsa berusia 12 tahun juga mengakui kesalahan dilakukan dan menyifatkan tindakan diambil oleh pengurus berkenaan terhadapnya bertujuan memberi pengajaran dan bukan menderanya.

"Buat pengetahuan semua, kanak-kanak itu sememangnya mempunyai masalah disiplin dan pernah menimbulkan beberapa masalah sebelum ini," katanya kepada media sewaktu sesi lawatan mengejut Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Wong May Ing dan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke Rumah Kanak-kanak Taiping, di sini hari ini.

Kunasegaran turut menafikan dakwaan satu surat layang daripada individu bernama M Susila mengatakan terdapat banyak salah guna kuasa dan aktiviti jenayah membabitkan pengurusan jawatankuasa pengelola Rumah Kanak-kanak Taiping sejak dahulu lagi.

Menurutnya, dakwaan surat layang ditularkan individu terbabit yang mendakwa bekas kanak-kanak penghuni rumah itu melalui media sosial baru-baru ini, turut dianggap cuba menjejaskan reputasi pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping yang sudah beroperasi selama 75 tahun lalu.

"Apabila siasatan dalaman dibuat, kita tidak mengenal pasti kewujudan individu bernama Susila dalam rekod penghuni rumah kami sebelum ini dan percaya identiti itu digunakan pihak tertentu untuk menjejaskan nama baik banyak ahli jawatankuasa sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, dakwaan liar seperti ada penghuni kanak-kanak perempuan dirogol, dikasari secara fizikal dan dijadikan alat pemuas nafsu juga tidak benar dan diada-adakan atas niat cuba mencetuskan kekecohan terhadap pihak pengurusan," katanya.

Kunasegaran berkata, pihaknya mengakui Rumah Kanak-kanak Taiping kini berdepan dengan siasatan polis susulan laporan keganasan fizikal pertama dibuat ke atas pengurusan jawatankuasa pada 6 Januari lalu disusuli beberapa laporan polis lain oleh ibu bapa dan mangsa sehingga kini.

May Ing (kiri) meninjau keadaan asrama penghuni kanak-kanak lelaki Rumah Kanak-kanak Taiping sewaktu sesi lawatan mengejut ke rumah kebajikan itu pagi ini.
May Ing (kiri) meninjau keadaan asrama penghuni kanak-kanak lelaki Rumah Kanak-kanak Taiping sewaktu sesi lawatan mengejut ke rumah kebajikan itu pagi ini.

Menurutnya, susulan siri laporan polis itu, majoriti ahli jawatankuasa pengurusan rumah kebajikan itu menuntut penganjuran satu mesyuarat agung tergempar pada 3 Mac ini yang bakal membawa usul undi tidak percaya terhadap ahli lembaga pengurusan Rumah Kanak-kanak Taiping kelak.

"Pihak kami bersetuju tuntutan itu dilaksanakan dan berharap proses itu bukan sahaja membersihkan nama baik pengurusan sedia ada yang teruk tercalar, sebaliknya mengembalikan reputasi rumah kebajikan itu pada mata masyarakat dan penderma setia," katanya.

Sementara itu, May Ing menegaskan kerajaan negeri memandang serius semua kes berkaitan penderaan kanak-kanak dan orang tua di semua rumah kebajikan terdapat di Perak.

Menurutnya, JKM dan semua agensi kerajaan berkaitan akan memantau rumah kanak-kanak dan kebajikan di Perak lebih kerap dengan semua pihak diminta lebih bertanggungjawab terhadap penghuni jagaan mereka.

"Mereka perlu menjaga kesemua penghuni rumah kebajikan berkenaan dengan lebih kasih sayang dan penuh kesabaran.

"Alasan penghuni rumah kebajikan nakal dan bermasalah tidak boleh memberi mereka sebarang ruang untuk melakukan keganasan terhadap mereka.

"Sekiranya mana-mana rumah kebajikan didapati terlibat kes jenayah penderaan, JKM akan mengambil alih atau menutup rumah kebajikan sementara waktu sehingga siasatan polis selesai," katanya.

Berkenaan aduan kes penderaan seorang pengurus Rumah Kanak-kanak Taiping terhadap seorang kanak-kanak lelaki di lokasi itu, May Ing menegaskan hasil laporan JKM dan polis mengesahkan tiada kes penderaan, tetapi ada kemungkinan perbuatan keganasan ke atas mangsa.

"Sebagai penyelesaian melalui kerjasama dengan JKM, kanak-kanak dan pengurus terbabit akan menjalani sesi kaunseling diadakan oleh JKM pada setiap bulan," katanya.