Jualan Proton susut 37.1 peratus berbanding April

PROTON
PROTON
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd (Proton) menjual 9,440 unit pada bulan Mei, susut sebanyak 37.1 peratus berbanding bulan April disebabkan kekurangan bekalan cip dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, jumlah jualan yang telah direkodkan adalah 57,283 unit dengan pegangan pasaran sebanyak 23.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, peningkatan sebanyak 2.4 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, walaupun kebanyakan pemain industri mempunyai tempahan yang mencukupi, kebanyakan perlu bergelut untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Bagi Proton, jualan kami mencukupi untuk kekal di tempat kedua secara keseluruhan dan kami juga menerima sumbangan daripada bahagian eksport yang berjaya mencapai jualan tertinggi dalam tempoh 98 bulan walaupun menghadapi cabaran daripada rangkaian penghantaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Roslan berkata, selepas mendahului pasaran secara keseluruhan pada bulan April, Proton Saga mengakhiri bulan Mei dengan jualan terbanyak bagi segmen-A apabila 3,786 unit diserahkan kepada pemilik manakala SUV Proton X50 mencapai 1,899 unit pada bulan Mei manakala Proton X70 pula berjaya mencapai 1,523 unit.

Proton Exora merupakan juara segmen yang keempat bagi syarikat, iaitu juara bagi kelas MPV segmen-C, katanya.

Beliau berkata, usaha jualan Proton di luar negara terus membina momentum meskipun pasaran antarabangsa mempunyai pelbagai langkah kawalan pergerakan.

“Dengan 669 unit yang merangkumi Proton Saga, Proton X50 dan Proton X70 dieksport pada bulan Mei, pencapaian ini juga merupakan bulan terbaik untuk bahagian jualan antarabangsa syarikat sejak Mac 2013,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Roslan berkata, susulan daripada Sekatan Pergerakan Penuh bermula 1 Jun, jualan kenderaan akan tergendala untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu dan berkemungkinan ia akan dilanjutkan untuk mengurangkan kadar jangkitan.

“Berbeza dengan tahun sebelumnya, pusat servis dibenarkan beroperasi bagi pelanggan yang telah membuat janji temu terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu juga akan berusaha untuk menggunakan tempoh sekatan perjalanan ini untuk mengatur kembali rancangan jualannya untuk baki tahun 2021, ia mendapat dorongan dengan perluasan insentif di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Kebangsaan hingga akhir tahun serta mengambil langkah untuk menjadikan perniagaannya berdaya tagan terhadap sebarang perubahan dan faktor luaran seperti Covid-19. - Bernama