Keputusan kes Papagomo, Syed Saddiq diketahui esok

Noor Rashid dalam sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur, di Pulapol.
Noor Rashid dalam sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur, di Pulapol.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan berhubung kes melibatkan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo yang dikatakan menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka akan diketahui, esok.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, Papagomo sebelum ini telah direman dan dalam tempoh itu, polis telah jalankan soal siasat, rakam percakapan dan barisan pengecaman.

Menurutnya, proses siasatan itu telah selesai dilakukan sebelum Papagomo diberi jamin polis.

"Siasatan telah lengkap dan hari ini kita cadang bawa kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya. Kita akan tunggu keputusan sama ada perlu menjalankan siasatan atau terus tindakan pendakwaan.

"Dijangka esok kita akan tahu keputusannya," katanya dalam sidang media selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Kuala Lumpur, di Pulapol, hari ini.

Noor Rashid berkata, berkaitan insiden itu, ada dua kertas siasatan telah dibuka iaitu pertama, berhubung laporan yang mendakwa serangan yang dilakukan Papagomo.

Katanya, kedua, laporan polis di mana beberapa anggota polis trafik bertugas yang diserang semasa hendak mengawal keadaan kerana melakukan serangan terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas.

"Selain itu, polis juga turut merakam keterangan beberapa individu berhubung insiden itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

[ARTIKEL BERKAITAN: Papagomo dibebas dengan jaminan polis]

Terdahulu, Syed Saddiq mendakwa beliau dicaci dan dimaki oleh sekumpulan penyokong yang memakai baju BN semasa berjalan ke tempat letak kereta kira-kira jam 11.05 pagi, selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, di sini.

Syed Saddiq mendakwa, beliau ditolak dari semua sudut oleh kumpulan berkenaan sebelum beberapa pegawai polis dan sukarelawan Unit Amal Pas menyelamatkannya.

Polis kemudian telah menahan Papagomo dan direman tiga hari bermula Isnin.