Melaka wujud Makmal Diagnostik Covid-19

Kemudahan kaunter penerimaan sampel yang disediakan di Makmal Diagnostik Covid-19 di Melaka. (Gambar kecil: Sulaiman)
Kemudahan kaunter penerimaan sampel yang disediakan di Makmal Diagnostik Covid-19 di Melaka. (Gambar kecil: Sulaiman)
A
A
A

MELAKA - Melaka mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya mewujudkan Makmal Diagnostik Covid-19 di bawah Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) bermula Selasa lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, makmal yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu membolehkan ujian makmal RT-PCR dan RTK-Ag untuk mengesan individu yang dijangkiti Covid-19 dapat dilakukan menggunakan Sistem Makmal Diagnostik PBM yang turut disokong oleh sistem Tracvirus.

Menurutnya, makmal yang terletak di Ayer Keroh itu mampu menerima sebanyak 250 sampel RT-PCR dan ujian RTK-antigen setiap hari, manakala keputusan ujian RT-PCR boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam sementara keputusan ujian RTK-antigen boleh diperoleh dalam tempoh kurang satu jam.

Katanya, dengan adanya kemudahan fasiliti makmal terbaharu PBM ini, kerajaan negeri berharap ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban sampel di Hospital Melaka, malah boleh membantu mengurangkan beban sampel di fasiliti kesihatan KKM khususnya di zon selatan melibatkan Johor dan Negeri Sembilan.

"Dengan kelulusan yang diberikan berkuat kuasa 1 Jun lalu, PBM kini dibenarkan untuk menjalankan kedua-dua ujian berkenaan.

"Ia sekali gus berupaya menyokong aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabak tersebut dalam komuniti," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Jelas beliau, selain ujian makmal, PBM juga menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak (drive thru) atau 'on-site' untuk Covid-19 dengan kerjasama klinik dan hospital panel.

"Individu atau syarikat yang ingin membuat ujian saringan Covid-19 juga boleh berurusan dengan makmal melalui tempahan awal di talian 010-5302600," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, terdapat 35 fasiliti swasta yang telah diiktiraf untuk menjalankan ujian tersebut di seluruh negara termasuk sebuah makmal swasta yang diiktiraf di Melaka.