AstraZeneca agih vaksin dikilangkan di Thailand minggu depan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

BANGKOK - Syarikat biofarmaseutikal AstraZeneca akan menyerahkan kumpulan pertama 1.8 juta dos vaksin yang dikeluarkan rakan kongsinya di Thailand, Siam Bioscience Co Ltd. (Siam Bioscience) pada minggu depan.

Pengumuman itu sekali gus meredakan kebimbangan rakyat mengenai kekurangan vaksin menjelang kempen vaksinasi yang akan bermula minggu depan.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata, penghantaran dos tempatan berkenaan ke negara Asia Tenggara yang lain dijangka pada Julai.

Kumpulan pertama dos yang dihasilkan di Thailand adalah mengikut jadual dan akan dihantar ke Kementerian Kesihatan Awam pada 7 Jun.

Ia menyatakan kumpulan pertama vaksin Covid-19 AstraZeneca yang dikilang di Siam Bioscience sudah pun mendapat kelulusan kualiti dan jaminan keselamatan oleh badan kawal selia tempatan serta makmal antarabangsa.

AstraZeneca mengumumkan pelancaran rasmi rangkaian bekalannya di Thailand dengan dos pertama yang dikilangkan di negara berkenaan sudah sedia untuk dihantar secara berperingkat.

Ia menyatakan, rangkaian bekalan baharu yang dibentuk dengan kerjasama Siam Bioscience adalah bagi mendokong usaha akses lebih meluas dan saksama terhadap vaksin itu di rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, Presiden AstraZeneca (Thailand) Ltd, James Teague berkata, ini satu kejayaan besar dalam usaha memerangi Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kemampuan mengeluarkan vaksin kami di Thailand dalam tempoh hanya beberapa bulan satu kejayaan besar, terima kasih terhadap kerjasama hebat dengan rakan pengilang kami, Siam Bioscience.

“Kini kami sudah sedia untuk menghantar vaksin berkualiti tinggi yang dihasilkan di peringkat tempatan, kami boleh membantu kerajaan Thailand mencapai sasaran memastikan program vaksinasi berkesan ke atas seluruh rakyat secepat mungkin," katanya.

AstraZeneca sudah membentuk rangkaian bekalan global berkesan menerusi tindakan menyusun 16 rangkaian bekalan unik serta memeterai perjanjian dengan 25 rakan pengilang di lebih 15 negara.

Siam Bioscience, kilang tunggal untuk vaksin Covid-19 AstraZeneca di Asia Tenggara dan memainkan peranan penting membekalkan vaksin berkenaan ke timur Asia, sejajar dengan hasrat membantu Strategi Penjagaan Kesihatan Thailand menjadi hub perubatan serantau.

AstraZeneca sebelum ini komited untuk membekalkan vaksin Covid-19 global tanpa keuntungan ketika wabak melanda. Sehingga kini, syarikat itu sudah membekalkan lebih 500 juta dos ke 168 negara. - Bernama