Kenderaan komersial hanya perlu kelulusan MOT untuk rentas negeri

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pemandu perkhidmatan pengangkutan hanya perlu menunjukkan surat kelulusan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi perjalanan rentas negeri.

MOT dalam satu kenyataan berkata, pemandu dan pengendali bas ekspres, lori dan kenderaan komersial di bawah kategori perkhidmatan perlu memohon surat kelulusan tersebut melalui Sistem Maklumat Industri Logistik (SMILE) di bawah MOT.

“Pemegang surat kelulusan MOT tidak memerlukan surat kebenaran tambahan yang lain untuk perjalanan antara negeri sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama bermula 1 Jun hingga 14 Jun ini.

“Seperti biasa MOT menggesa seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepertimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ini termasuk menggunakan cecair pembasmi kuman, memakai pelitup separuh muka, mengamalkan penjarakkan sosial dan mengimbas kod QR MySejahtera jika diperlukan,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Pada Ahad, kerajaan mengumumkan sebanyak 17 sektor perlu yang dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara.

Pada Isnin, MOT telah mengeluarkan surat kebenaran baharu bagi membolehkan syarikat berdaftar di bawah Sistem SMILE beroperasi semasa Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama.

MOT berkata, surat baharu itu yang menggantikan surat terdahulu yang kini terbatal dan tidak sah, boleh dimuat turun menerusi https://application.mot.gov.my/.

Artikel Berkaitan: