Kanak-kanak disaran kekal berada di dalam rumah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kanak-kanak disaran kekal berada di dalam rumah susulan situasi penularan Covid-19 yang membimbangkan melibatkan golongan itu berusia lima tahun ke bawah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ibu bapa berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak dengan mengambil tindakan proaktif.

"Pantaulah pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, kanak-kanak dan bayi juga tidak perlu dibawa ibu bapa ke tempat berisiko seperti pasar raya, pasar awam dan tempat sesak lain.

"Gunakan pembelian dalam talian bagi membantu mendapatkan keperluan harian," katanya.

Beliau berkata, hanya wakil keluarga dibenar untuk membeli barangan keperluan sepertimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dalam perkara ini, ibu bapa sendiri perlu menjalankan tanggungjawab dan tidak membenarkan anak-anak remaja mengunjungi tempat tempat awam yang sesak serta berisiko tinggi," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pemakaian pelitup muka dan kebersihan kendiri yang betul perlu diamalkan sekiranya terpaksa keluar rumah atas urusan yang tidak dapat dielakkan.

Artikel Berkaitan:

"Semua pihak terutamanya ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang," katanya.

Tambah beliau, kanak-kanak cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2 dan termasuk dalam golongan yang belum layak menerima vaksin Covid-19.

"Justeru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin.

"Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan," katanya.