Kerajaan jangan sisihkan golongan M40: Najib

Tangkap layar hantaran oleh Najib di Facebook.
Tangkap layar hantaran oleh Najib di Facebook.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan menghulurkan bantuan kepada golongan M40 yang tersisih daripada Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan diumumkan pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, kerajaan perlu memberi perhatian kepada golongan tersebut yang turut terjejas akibat pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh atau 'total lockdown'.

"Adakah Covid-19 tak jangkit pada golongan M40 ataupun tidak terkesan dalam tempoh 'total lockdown' untuk bulan akan datang?

"Jika kerajaan Pakatan Nasional (PN) tak mahu agihkan lebih banyak peruntukan daripada RM100 bilion dipinjam ini kepada penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), maka kerajaan bolehlah korek lagi tabung Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN)," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pada Rabu.

Pada 31 Mei lalu, kerajaan mengumumkan Pemerkasa Tambahan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM40 bilion bagi membantu meredakan cabaran yang dihadapi ekoran pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Dalam pada itu, Najib berkata, langkah kerajaan untuk menolak bayaran BPR bagi penerima Geran Khas Prihatin (GKP) adalah tidak wajar.

"Sebab mereka yang layak untuk menerima GKP juga perlu menanggung kerugian seperti masih perlu membayar sewa atau barang mentah yang terpaksa dibuang akibat dilarang untuk berniaga.

"Kerugian ini tidak perlu ditanggung oleh penerima BPR yang tak layak GKP. Sebab itu, ia tak wajar untuk memutuskan bahawa penerima GKP tidak layak untuk menerima BPR.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut data kerajaan, jumlah perbelanjaan kerajaan untuk memberi bantuan BPR di atas itu cuma RM2.1 bilion sahaja sedangkan kerajaan sudah pinjam lebih RM100 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini," ujarnya.