X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di beberapa lokaliti di tiga negeri

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Pulau Pinang, Pahang dan Sabah bermula Jumaat sehingga 17 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD yang dilaksanakan di Pulau Pinang membabitkan 13 lokaliti sekitar Pekan Bayan Lepas, Mukim 12 dan Barat Daya.

Menurut beliau, lokaliti itu meliputi Sri Bayu, Bayu Tiara, Bayu Nyaman, Halaman Murni, Bayan Permai, Bayan Tiara, Taman Ara Indah, Kampung Bukit, Kampung Perlis, Kampung Masjid, Jalan Mahkamah, Jalan Kampung Pak Lah dan Lebuh Kampung Bukit.

“Pelaksanaan PKPD ini memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pengesanan awal kes serta mengurangkan pergerakan penduduk ke luar dari lokaliti itu,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Ismail Sabri berkata, bagi pelaksanaan PKPD di Pahang, ia melibatkan empat taman perumahan Mukim Bentong, Bentong iaitu di Taman Bentong Makmur, Taman Harmoni, Taman Kolej dan Taman Desa Damai.

"PKPD di Sabah pula melibatkan kawasan Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Kunak," katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Lorong Taman Utama 5, 6, 7 & 8, Taman Utama, Sandakan dan ia turut dilaksanakan di Kampung Sepagaya Hulu, Silam, Lahad Datu.

Beliau menambah, di daerah Kota Kinabalu, PKPD dilaksanakan di dua lokaliti iaitu Rumah Murah Kepayan dan Kampung Tanjung Aru Baru.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokaliti di Mukim Pekan (kecuali Kampung Kadazan, Kampung Simpang 4, Taman Sri Idaman, PPR Sri Pangkalan dan Bangunan Kedai Simpang 4) dalam daerah Kunak.

“Ini bermakna, pelaksanaan PKPD yang sedang dikuatkuasakan di Kampung Kunak Tiga, Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat, Kampung Getah, Kampung Getah Tengah dan Taman Kunak Kaya akan terbatal dan mengikut tarikh baharu iaitu bermula pada Jumaat sehingga 17 Jun,” katanya.

Dalam kenyataan juga, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar bermula Jumaat sehingga 17 Jun.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kampus Skudai, Johor pada Jumaat.

"Selain di UTM, penamatan PKPD juga di Gugusan Mendi, Bera, Pahang pada Rabu iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, seramai 792 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Selasa.

“Daripada jumlah itu, seramai 781 individu dikompaun, 10 direman manakala seorang lagi dijamin,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!